KUALA LUMPUR: UMNO sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekiranya beliau benar-benar berhasrat kembali ke pangkuan parti selepas dipecat pada Januari 2023.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana bekas pemimpin yang ingin kembali berjuang bersama parti, selagi proses dan syarat parti dipatuhi.
Katanya, prinsip keterbukaan itu turut terpakai kepada Khairy yang sebelum ini pernah menjadi salah seorang tokoh penting dalam UMNO.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini UMNO masih menunggu permohonan rasmi daripada bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
“Ya, beliau menunjukkan minat untuk kembali. Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk beliau.
“Kita kini menunggu permohonan rasmi daripada Khairy,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025 di perkarangan Stadium Bukit Jalil hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan depan, selain dikatakan mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Penyertaan semula bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilihat berpotensi memberi suntikan baharu kepada usaha UMNO mengembalikan sokongan terutama dalam kalangan pengundi muda.
Khairy dipecat daripada parti pada Januari 2023 selepas lantang mengkritik kepimpinan parti ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun, sejak itu beliau berkali-kali menyatakan tidak berminat menyertai parti lain kerana masih mempunyai kesetiaan terhadap UMNO.
Pada PRU15, Khairy yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh tewas, namun berjaya memberi saingan sengit dan meraih sokongan ketara dalam kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu.-UTUSAN










