KOTA KINABALU: Penurunan kuasa laksana projek bernilai RM50 juta ke bawah kepada Sabah dan Sarawak adalah komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Nota Jemaah Menteri pada 21 Disember 2022 menyenaraikan isu-isu tertunggak berkaitan MA63 dan penurunan kuasa itu menjadi satu daripadanya.
Katanya, Kementerian Kewangan dipimpin Anwar memberi respons positif dengan cadangkan penurunan kuasa Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak libatkan projek-projek bernilai RM30 juta ke bawah.
“Pada masa itu, saya cadangkan supaya nilai itu dinaikkan kepada RM50 juta atas alasan jumlah RM30 juta bersamaan dengan jumlah projek-projek yang di bawah bidang kuasa sedia ada Pejabat Perbendaharaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam video dikongsi di laman Facebooknya semalam.
Armizan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2023 meluluskan syor Kementerian Kewangan untuk memberikan pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak.
“Ini meletakkan JKR Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 dan melayakkan agensi-agensi negeri ini melaksanakan keseluruhan proses, termasuk perolehan, projek-projek persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah.
“Tidak ada mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan sebelum ini bersedia untuk melepaskan kuasa berkaitan projek kepada negeri, tetapi ini adalah komitmen Datuk Seri Anwar serta-merta meluluskan dan melaksanakan syor itu hanya dalam tempoh satu bulan pentadbirannya,” katanya. – UTUSAN










