Tun Maimun antara penerima Ijazah Kehormat UM 

Tun Maimun antara penerima Ijazah Kehormat UM 

TUN TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam institusi kehakiman negara.

Anugerah itu disampaikan menerusi Istiadat Konvokesyen UM ke-65 yang turut meraikan lebih 11,000 graduan pada 22 sidang kali ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, penganugerahan itu diberikan bagi mengiktiraf pencapaian Tun Maimun dalam perkhidmatan beliau selaku wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

“Tengku Maimun, alumni UM yang telah mencipta sejarah dalam kerjaya beliau dan dalam sejarah perkhidmatan kehakiman negara.

“Beliau merupakan wanita pertama diamanahkan sebagai Ketua Hakim Negara,” titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM ke-65 di Dewan Tunku Canselor, UM, hari ini.

Sementara itu, Tun Tengku Maimun dalam ucapannya berkata, Ijazah Kehormat yang dianugerahkan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya pengiktirafan kepada seluruh barisan hakim yang teguh mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman selama tempoh perkhidmatannya bukanlah hasil usaha sendiri, sebaliknya didukung oleh komitmen para hakim yang sentiasa membuat keputusan berteraskan undang-undang. 

“Tidak pernah terlintas di hati patik bahawa suatu hari nanti, patik akan berdiri semula di sini dan bukan sebagai graduan muda yang penuh impian, tetapi sebagai alumni yang pulang untuk menerima penghormatan tertinggi daripada alma mater sendiri.

“Sekiranya keyakinan awam terhadap badan kehakiman meningkat sepanjang tempoh perkhidmatan saya, maka sebahagian besarnya adalah hasil komitmen para hakim yang memutuskan kes berlandaskan undang-undang tanpa gentar atau pilih kasih walau betapa tidak popular sekalipun keputusan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kecemerlangan bukan hanya diukur menerusi deretan transkrip akademik, tetapi pada keupayaan seseorang untuk menjadi graduan yang berwibawa dan berintegriti. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN