Tuanku Zara berangkat ke Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI - Utusan Malaysia

Tuanku Zara berangkat ke Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI

TUANKU Zara Salim menyempurnakan perisytiharan pembukaan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah, Bandar Proton di Tanjung Malim. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat dan menyempurnakan perisytiharan pembukaan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah, Bandar Proton di sini.

Baginda turut berkenan mengurniakan ijazah sarjana muda secara anumerta kepada keluarga dua pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas di Gerik iaitu Allahyarham Nurly Shahirah Azman dan Allahyarham Fatin Nasrien Fadli.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, daripada jumlah keseluruhan 7,173 graduan, 5,160 membabitkan pelajar prasiswazah iaitu seramai 693 graduan diploma dan 4,467 graduan Ijazah Sarjana Muda.

“Seramai 2,013 graduan pascasiswazah pula merangkumi 247 Doktor Falsafah, serta 793 Sarjana seterusnya seramai 973 orang akan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah,” katanya dalam sembah ucapan sempena istiadat konvokesyen itu hari ini.

Katanya, UPSI terus melakar kecemerlangan dalam dunia pendidikan global apabila berada pada kedudukan 126.

“Times Higher Education World University Rankings 2026 telah mengiktiraf UPSI sebagai universiti 601 terbaik di dunia.

“Selain itu, UPSI juga berada di tangga 156 terbaik Asia berdasarkan penarafan QS World University Rankings Asia 2026,” katanya.

Tambah beliau, UPSI akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dengan pelbagai kemudahan telah dan sedang dibangunkan yang merangkumi UPSI Glamping Park, pusat kesihatan baharu dan Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami.

Ujarnya, selain itu, Galeri Muzik Diraja dan pembinaan sekolah antarabangsa akan dimulakan pembinaannya pada tahun depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN