Trofi dijulang dengan tanggungjawab - Utusan Malaysia

Trofi dijulang dengan tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH ramai pihak memperka­takan mengenai kemenangan Sweet Qismina sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.

Rata-ratanya menganggap kemenangan Sweet dalam penganugerahan berprestij itu adalah tepat dan selayaknya.

Yang berkesempatan menonton filem Babah (filem Terbaik FFM34) faham mengapa kemenangan trofi pelakon wanita terbaik milik Farhanna Qismina Supandi.

“Bayangkan dalam masa satu bulan saya perlu turunkan berat badan, amalkan diet air dan belajar bahasa isyarat dalam jangka masa pendek.

“Pada masa yang sama saya juga perlu memahami dengan sedalam dalamnya tentang sindrom Guillain Barre yang amat jarang diperkatakan dalam kalangan masyarakat kita.

“Jadi saya tidak nafikan yang watak Maya ini memang sukar, berat dan mencabar. Tapi sebenarnya kejayaan saya membawa karakter itu bukan semata-mata usaha sendiri, tetapi juga kerja keras seluruh produksi filem Babah yang banyak memudahkan saya.

“Jadi penerimaan trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM34 ini saya anggap sebagai kejayaan kami bersama,” katanya.

Sweet dalam kategori tersebut menewaskan pencabar-pencabar hebat antaranya Khatijah Tan, Sofea Jane, Nabila Huda dan Maya Karin.

Katanya tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menggengggam trofi berprestij itu tatkala para pencabarnya terdiri dalam kalangan pelakon-pelakon hebat.

“Saya jangka Nabila yang menang sebab lakonannya dalam filem Telaga Suriram sangat bagus.

“Saya menonton lakonan semua pelakon yang tercalon dalam kategori ini, bukan untuk menilai lakonan mereka, tetapi untuk belajar daripada hasil kerja mereka.

“Dan apabila tersenarai dalam kategori yang mengetengahkan pelakon-pelakon hebat, saya tidak terfikir akan menang. Tapi Allah bagi rezeki ini kepada saya,” ujarnya.

Dalam pada, Sweet juga menganggap pencapaian diraih dalam FFM34 bukan sekadar kemenangan, tetapi juga tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikulnya selepas ini.

“Trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM ini merupakan anugerah berprestij yang diidamkan ramai aktres. Selepas 19 tahun bergelar pelakon, trofi ini akhirnya ditakdirkan untuk saya.

“Selepas ini saya perlu memperbaiki hasil kerja agar persembahan lakonan saya bertepatan dengan kemenangan yang saya raih ini.

“Saya galas kemenangan ini dengan penuh tanggungjawab,” kongsinya lagi.

NASKHAH YANG DEKAT DI HATI
Dalam bercerita mengenai Babah, Sweet memaklumkan filem tersebut meninggalkan impak yang besar buat dirinya.

“Filem Babah ini ibarat tempat saya realisasikan banyak impian yang tidak saya capai dalam dunia sebenar.

“Antaranya, babak perkahwinan di mana dalam dunia realiti, saya tak berkesempatan meraikannya dengan arwah ayah saya. Jadi babak itu amat istimewa untuk saya.

“Selain itu, Babah itu juga adalah panggilan kepada arwah ayah saya. Memang filem ini terlalu dekat dengan kehidupan saya.

“Dan kerana itulah saya terus mengatakan iya sebaik sahaja ditawarkan untuk membawakan watak Maya dalam filem ini,”kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN