MUKADIMAH
KEPUTUSAN meletakkan jawatan sebagai pengarah hospital semata-mata mahu bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan satu keputusan mudah bagi calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Tanjung Batu, DR. ANDI MOHD. SHAMSUREEZAL MOHD. SAINAL.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BESSEY AISYAH, beliau mengakui risiko sekiranya kalah pilihan raya setelah berada di puncak mengetuai Hospital Lahad Datu dan tetap meneruskan perjuangan politik serta berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin jika keputusan Sabtu ini tidak menyebelahinya.
UTUSAN: Mengapa letak lawatan pengarah hospital bertanding pilihan raya?
ANDI MOHD. SHAMSUREEZAL: Sebenarnya keputusan meletak jawatan ini untuk bertanding adalah keputusan sukar. Apabila ditawarkan jadi calon, saya bertanyakan kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga, mereka sebulat suara menyatakan ini adalah masanya untuk ke depan dan memimpin Tanjung Batu. Walaupun keputusan dibuat dalam masa singkat, saya akhirnya mempertimbangkan dari semua sudut termasuk pengorbanan kerjaya.
Apa jadi kalau kalah pilihan raya?
Sekiranya tidak berjaya kali ini, saya akan terus berpolitik dan cuba berkhidmat sebaiknya yang saya boleh kepada Tanjung Batu. Dari segi kerjaya itu untuk saya agak lebih mudah sedikit kerana saya seorang profesional dan boleh bekerja di klinik atau hospital swasta atau membuka pusat perubatan lain.
Ada yang kata anak muda tidak minat politik sebab mahu kuasa?
Pada saya muda dulu pun, perkara sama saya fikirkan. Namun saya selalu buat anggapan dengan seseorang itu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, kuncinya adalah pendidikan.
Begitu juga politik. Sebenarnya kita berpolitik itu adalah untuk dapatkan kuasa, tetapi ia berbalik macam mana ia digunakan sama ada memberi kebaikan kepada masyarakat atau diri sendiri.
Jadi sangat penting anak muda berpolitik kerana untuk berubah perlukan kuasa dan tanpa kuasa, perubahan itu sangat susah ataupun mungkin tidak dicapai.
Apa tawaran jika menang pilihan raya?
Ada empat teras iaitu kesihatan, kebajikan, pendidikan dan kemudahan. Misalnya, saya mahu menyediakan satu pasukan bergerak yang ada doktor, jururawat dan fisioterapi dan mereka ini bergerak dari satu kampung ke satu kampung.
Selain itu, untuk anak muda saya kena pastikan mereka berkemahiran dan berpendidikan. Sekarang ada banyak perkara yang kerajaan berikan. Contohnya untuk kemahiran kita ada TVET dan sebagainya.
Mungkin ada sesetengah beranggapan seperti janji retorik, tetapi perkara ini perlu buat dan diberi keutamaan dan selesaikan satu persatu.
Apa perancangan tarik anak Sabah balik bekerja?
Berdasarkan pengalaman apabila ke Kuala Lumpur, saya ada berjumpa dengan anak Sabah yang bekerja di sektor perkhidmatan seperti hotel dan sebagainya. Mereka sebenarnya bukan mahu lebih pun, hanya mahu ada peluang pekerjaan.
Dengan adanya peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal, sebenarnya mereka sanggup balik tinggal di negeri sendiri berbanding di Semenanjung. Punca utamanya adalah peluang pekerjaan itu kurang di Sabah.
Insya-Allah kalau diberikan mandat saya akan ketengahkan isu ini dan memperluaskan sektor perkhidmatan dan industri agar lebih banyak lagi peluang pekerjaan dibuka pada masa akan datang. – UTUSAN










