GEORGE TOWN: Tiga pengarah syarikat perniagaan makanan berasaskan Timur Tengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan gagal mengemukakan dokumen seperti yang diminta oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketiga-tiga tertuduh iaitu dua warga tempatan, Nooraishah Hazis, 56, dan Mohd. Zamberi Mohd. Soriji, 53, serta seorang lelaki warga Syria, Mahmoud Sheikh Al-Basatna, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Mengikut pertuduhan, ketiga mereka yang merupakan pengarah ALShhba Group Sdn. Bhd. sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) telah gagal mengemukakan dokumen yang diminta oleh pegawai kastam seperti kehendak Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Selain itu, mereka juga didakwa telah melakukan kesalahan yang sama iaitu di bawah Seksyen 57 (4)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 78 Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 79 Akta yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Mei lalu, di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan, Kompleks Kastam Seberang Jaya Lot 5492, Jalan Perpustakaan Lebuh Tenggiri 2, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Sabit kesalahan, kesemua mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, salah seorang tertuduh, Nooraishah yang mewakili syarikat berkenaan turut berdepan satu pertuduhan yang membabitkan kesalahan sama. Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa JKDM, Mohd. Safwan Fathy Yahaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim kemudian menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, dalam kes ini, terdapat tiga dokumen yang masih gagal diserahkan kepada pihak JKDM iaitu laporan audit tahunan, lejar am (general ledger) dan invois jualan yang diperlukan bagi melengkapkan semakan serta memastikan semua rekod kewangan dapat disahkan dengan tepat. – UTUSAN










