Tidak sombong, kalau jumpa tegur saja - Anna Jobling - Utusan Malaysia

Tidak sombong, kalau jumpa tegur saja – Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Anna Jobling, menafikan tanggapan segelintir peminat yang menganggap dirinya sombong hanya kerana ekspresi wajah yang sering dilihat serius, terutama selepas membintangi beberapa filem bergenre seram.

Menurut Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, tidak adil untuk peminat menilai peribadinya berdasarkan karakter yang dibawakan di layar perak.

“Mereka kata saya ada muka hantu, tapi saya anggap itu sebagai pujian. Kadang-kadang bila saya tak senyum, orang fikir saya sombong.

“Sebenarnya tidak, mungkin sebab reaksi muka saya saja. Kalau jumpa saya di luar, tegurlah, saya memang okay dan mesra,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Anna berkata, rezekinya dalam industri lakonan semakin luas apabila kini menerima tawaran sebagai pelakon utama untuk sebuah filem produksi Indonesia.

Mengakui jadualnya kini sangat padat, Anna bagaimanapun tidak merancang untuk berehat, sebaliknya mahu memanfaatkan setiap peluang yang datang.

“Kadang-kadang selepas habis satu projek, saya rancang nak rehat, tapi tiba-tiba datang tawaran menarik.

“Rasa sayang nak tolak, jadi rehat pun tangguh dulu. Lagipun saya masih muda dan bertenaga, jadi ambil saja kerja.

“Pernah juga terbawa emosi di luar set, tapi saya selalu ingatkan diri walaupun penat dan rasa nak mengeluh, tetap kena bersyukur,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon yang mula meledak menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu tidak menafikan ada segelintir pihak yang mempersoalkan peluang dan rezeki yang diterimanya.

Namun, Anna enggan melayan komen negatif dan lebih memilih untuk fokus terhadap kerjaya.

“Ada juga yang tanya kenapa saya yang selalu dapat peluang, kenapa muka saya saja. Bagi saya, itu semua rezeki.

“Saya tak pernah iri hati dengan rezeki orang lain sebab saya percaya setiap orang ada bahagian masing-masing,” jelasnya.

Untuk rekod, Anna sebelum ini pernah membintangi tiga filem produksi Indonesia iaitu Laut Tengah, Sukma dan Lembayung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN