KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan Sabah sebaliknya pelbagai usaha dan peruntukan telah disalurkan bagi pembangunan negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan misalnya telah memperuntukkan RM1.2 bilion bagi elektrik di samping perbelanjaan lain untuk air dan projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Katanya, ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah.
“Air kita selesaikan. Bagi peruntukan cukup, selesai tahun depan. Kita serap balik ke Sabah dan kita tambah lagi RM1.2 bilion. Macam mana boleh kata saya lebih berminat kepada Palestin?” katanya dalam Sesi Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar ditanya berhubung persepsi bahawa kerajaan Pusat tidak mengutamakan Sabah berbanding negara lain khususnya membabitkan soal kemanusian Palestin.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pelaksanaan projek di Sabah memerlukan proses telus termasuk tender terbuka dan keupayaan kontraktor sebelum keputusan dibuat.
“Kalau syarikat Sabah mampu, jalan. Kalau tidak, dari Semenanjung masuk. Yang penting projek siap,” katanya.
Anwar berkata, beliau secara konsisten mengadakan mesyuarat teknikal, perbincangan bilateral dan sesi libat urus antara Pusat dan Sabah bagi mendapatkan pandangan termasuk isu tanah, sekolah, dan infrastruktur asas.
“Kita perincikan segala proses ini dan memastikan segala perancangan dipenuhi.
“Setiap tuntutan, setiap aduan yang sah mesti didengar dan diambil tindakan. Itu prinsip saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat agar menilai secara objektif keupayaan kerajaan sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran kerajaannya.
“Saya nak jadi Perdana Menteri yang berjaya. Saya mahu rakyat rasa mereka diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa kestabilan kerajaan Perpaduan merupakan elemen penting demi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan dan kuasa perdagangan.
“Kita sebuah negara perdagangan, hubungan antarabangsa tidak boleh dipandang ringan. Tanpa diplomasi, kita akan rugi,” ujarnya.
Anwar juga mengambil contoh kejayaan meningkatkan perdagangan ASEAN serta hubungan strategik Malaysia dengan Brazil, China, Kanada dan Amerika Syarikat.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah pembangunan negara secara keseluruhan, bukan hanya menjaga kelompok atau sentimen politik.-UTUSAN










