Tiada kepakaran tempatan sukarkan pembangunan industri REE

Tiada kepakaran tempatan sukarkan pembangunan industri REE

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara tidak mempunyai kepakaran dan teknologi tempatan pada skala komersial bagi menjalankan aktiviti perlombongan industri unsur nadir bumi (REE).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu merupakan cabaran utama negara untuk melaksanakan pembangunan industri REE walaupun mempunyai sumber berkualiti dan signifikan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Malaysia perlu bergantung kepada teknologi luar, khususnya dari China dan Australia.

“Pada masa ini, rantaian nilai global untuk pemprosesan dan pemisahan REE didominasi oleh China termasuk kawalan terhadap eksport teknologinya.

“Kekangan ini menyukarkan Malaysia membangunkan keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan, pemprosesan hingga penghasilan produk bernilai tambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) tentang cabaran yang dihadapi dalam usaha membangunkan dan memajukan industri REE negara.

Tambahnya, negara juga kekurangan data komprehensif bagi mengenal pasti kawasan dan jumlah REE yang boleh dilombong pada satu-satu tempat selain anggaran awal pada tahap sumber teragak (inferred resources).

“Negara juga berdepan kekurangan data yang komprehensif berhubung lokasi, kuantiti, gred dan status guna tanah sumber REE.

“Anggaran awal REE oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih pada peringkat sumber teragak ataupun inferred resources dan memerlukan kajian terperinci lanjutan bagi menentukan jumlah sebenar yang boleh dilombong secara ekonomi dan lestari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN