Tiada cadangan wujud program khusus berkaitan kesihatan jemaah haji - Utusan Malaysia

Tiada cadangan wujud program khusus berkaitan kesihatan jemaah haji

Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan belum bercadang untuk mewujudkan program khusus berkaitan kesihatan bakal jemaah haji bagi memenuhi syarat terbaharu yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tiada keperluan untuk langkah itu dilaksanakan setakat ini kerana Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan pelbagai prosedur pemeriksaan dan saringan kesihatan secara rutin setiap tahun.

“Ini memang kegiatan tahunan kami. Saringan kesihatan dan pemeriksaan dilakukan sehingga ke saat akhir sebelum jemaah berangkat.

“Kita lihat dari sudut penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, berat badan dan sebagainya. Semua ini ada pemeriksaan yang kita buat secara rutin dan kita akan terus mempertingkatkan usaha tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): MOH Kita Sihat di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara yang menyediakan pendekatan menyeluruh dari segi penjagaan kesihatan untuk bakal jemaah haji.

Katanya, usaha itu akan terus dipertingkat bagi memastikan mereka mendapat penjagaan sewajarnya sebelum berangkat ke tanah suci.

“Kita adalah antara negara yang telah memberikan pendekatan secukupnya dari segi penjagaan kesihatan bagi bakal-bakal jemaah haji.

“Kita akan terus meningkatkan penjagaan jemaah haji sebelum berangkat menunaikan ibadah haji bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang diperketatkan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.

Antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN