The First Ride: Bagaimana mengucap selamat tinggal? - Utusan Malaysia

The First Ride: Bagaimana mengucap selamat tinggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

11 tahun lalu, Nam Dae-joon menghasilkan filem cereka panjang pertamanya, The Last Ride. Ceritanya tentang tiga orang sahabat karib yang perlu menerima, merelakan dan mahu menunaikan hajat salah seorang daripada mereka yang sedang di ambang maut.

Dalam sela-sela tahunnya tumbuh menjadi sutradara, Nam terus dikenali menerusi karya komedi dibancuh emosi yang menghiris, terutama projeknya yang paling popular, Love Reset (2023).

Nam nampaknya kembali ke panggung tahun ini dengan mempertaruhkan The First Ride sekali gus memulangkan kembali ingatan saya kepada naskhah yang ditulis dan diarahkannya lebih sedekad lalu.

Bagaimanapun, filem ini tidaklah bersifat melengkapi perjalanan atau memanjangkan kesinambungan filem lampau, namun ada beberapa ciri penceritaan cukup jelas menunjukkan Nam memberi homat kepada tulisan pertamanya sebagai pengarah walaupun memikul konsep yang berbeza.

Menerusi The First Ride (TFR), Nam nampaknya selesa bekerjasama dengan Kang Ha-neul (Squid Game  musim 2) sekali lagi, mungkin setelah persembahan baiknya dalam Love Reset.

Berbanding The Last Ride (2016), TFR dibuat dengan sekala lebih besar membariskan bintang gred A Korea Selatan iaitu Kim Young-kwang (Somebody), Cha Eun-woo (True Beauty), Kang Young-seok (Welcome to Samdal-Ri) dan Han Sun Hwa (My Sweet Mobster).

TFR masih mengusung tema persahabatan, bagaimana empat orang kawan iaitu Yeon-min, Tae-jung, Do-jin, Geum-bok (serta tambahan Ok-Shim di hujung-hujung) bagai isi dan kuku tidak pernah berpisah dari usia enam tahun mahu menutup fasa zaman persekolahan dengan pergi bercuti ke Thailand.

Alasannya mudah, negara itu adalah tuan rumah pesta EDM penting dunia yang dihadiri DJ kesukaan mereka. Kedua, selamat tinggal buat Yeon-min bakal terbang ke luar negara.

Nam selaku penulis lakon layar menceritakan keakraban empat sekawan ini terjalin dengan alasan tolol – mereka semua paling bodoh, jadi ada baiknya empat bodoh berkawan untuk membuktikan siapa paling bodoh.

Namun begitu, saya suka untuk melihat bagaimana Nam setia menilai makna perjalanan baik di filem yang pertama atau yang muktahir.

Ketika menyusun sebuah perjalanan dalam filemnya, Nam sudah memberitahu di mana destinasi akhir hujung penggembaraan ini, iaitu kematian.

Bahkan Nam menerusi potongan skrip pembuka tukang cerita sudah memberi petanda bahawa ini sebuah kisah sedih. Memang sedikit ironi dengan naskhah yang dijenamakan sebuah filem komedi.

Bagaimanapun, Nam, khususnya menerusi TFR, memberikan kita keyakinan bahawa kita layak menikmati sebuah adventure yang begitu merepek, mengarut, gila walaupun kita tahu di hujung semua ini adalah perpisahan.

Tapi, memang hidup harus seserabut itu, namun itulah letak tanda kita masih bernyawa kerana boleh memperoleh rasa.

TERJALIN, TERLERAI, DIPILIN, DISALIN LUKA

Saya melihat Nam memasukkan elemen komedi dalam banyak cara paling utama menerusi watak-wataknya dengan perangai serba aneh. Contohnya Do-jin yang tidur dengan mata terbuka.

Namun begitu, saya ingin menyingkap bagaimana empat sekawan ini yang pada awal begitu kuat menggenggam tapi hubungan mereka seperti berombak memasuki alam kerjaya. Lebih tepat, ketika Yeon-min sudah ‘berpindah’.

Sebenarnya begini, persahabatan yang kita jalin dengan siapapun banyak dikaitkan dengan attachment theory, kita akrab dengan seseorang kerana mereka mengisi sesuatu yang kita perlukan untuk melengkapi kerapuhan emosi kita terhadap sesuatu.

Dalam kes empat sahabat ini, mereka dipinggir kerana bodoh dan lembap, maka persahabatan mereka terjalin kerana masing-masing saling mengisi luka-luka menjadi asing itu.

Ini kerana, dalam tidak sedar, berkawan adalah proses reciprocal altruism iaitu kita sebenarnya berharap energi yang kita beri akan kita perolehi serupa semasa berinteraksi. Jika berlaku sebaliknya, maka, kita dengan sangat mudah berasa dieksploitasi membuatkan kita semakin menjauhkan diri sama seperti dilakukan Tae-jung. Dia mula merasakan kawan-kawannya tahu nak habiskan duitnya sahaja.

Namun, tidak sekadar itu, saya juga mahu memahami perubahan Tae-jung dengan menilai kembali teori yang saya bahaskan tadi. Apabila salah seorang sudah sembuh dari kerapuhan yang mengganggu, maka dinamik hubungan dan keakraban pasti akan bertukar juga.

Perkara ini boleh kita lihat bagaimana emosi Do-jin hancur dan lambat untuk sembuh sedangkan kawan-kawannya yang lain sudah makin pulih dari luka yang sama. Sebab itu, kita lihat begitu kerap pergaduhan berlaku antara mereka, sudah tidak serasi lagi orang kata.

Bagaimanapun, idea terbang ke Thailand seolah-olah membuatkan mereka mengisi kembali setiap yang merenggangkan mereka.

Nam, ketika menulis karakter ini sebenarnya telah menyokong kajian dalam jurnal Friendship Maintenance: An Analysis of Individual and Dyad Behaviors menjelaskan persahabatan diselamatkan dengan empat cara – bersikap ceria, memberikan kembali sokongan (khususnya kepada Do-jin baru keluar wad sakit mental), terbuka berkongsi rasa dan semestinya meluangkan banyak waktu bersama. Mereka melakukan itu bersama-sama di Thailand.

MENENTUKAN TUKANG CERITA

Bagaimanapun, saya harus mengakui bahawa TFR dibuat dengan belum cukup rapi. Nam terasa teragak-agak menentukan suntingan sehingga mengambil terlalu banyak masa untuk pengukuhan karakter di awal filem.

Kesannya, terasa membosankan dan hampir lupa ia sepatutnya menjadi sebuah filem lawak. Sedangkan, saya berpendapat ketika menghasilkan naskhah komedi, tidak hanya jenis lawaknya sahaja yang penting tetapi juga ketepatan komedi itu diletakkan.

TFR hanya benar-benar terasa ‘oh akhirnya ini filem lawak’ selepas mereka berjemaah ke Thailand. Nam barulah dilihat berjaya menabur jenis-jenis humor yang kebanyakannya didominasi situational comedy.

Namun begitu, saya tetap berasa pengakhiran filem ini semakin merba terutama memasuki adegan mereka ditahan di lubuk pemerdagangan organ, lebih banyak aksi siap letupan sekali gus mengelirukan saya sekali lagi, ini filem apa pula?

Menebus itu semua, Nam nampaknya cukup cerdik untuk memahami filem adventure comedy ini sudah dihasilkan banyak orang. Maka Nam cuba memberi kesegaran menerusi tukang ceritanya yang sedikit berbeza.

Nam mengguna gaya posthumous narration dan disitulah letaknya rahsia Nam memasukkan elemen emosi yang dramatik.

Maka, atas alasan itu juga, momen awal pengenalan Ok-Shim disunting begitu kerana tukang cerita ini tidak sempat mengenalinya sama seperti rakan yang lain. Saya enggan menghurai lebih panjang mengenai itu bagi menghindari ‘spoiler’.

Walaupun sudah saya tangkap ke mana hujung narasi itu sedari act kedua, tapi mendengar pengunjung di panggung saling terkejut dan berpandangan, saya fikir teknik Nam itu berjaya sekali gus menjadikan filem ini menghantar kita ke rasa hangat yang berbeza.

TFR bukanlah filem terbaik Nam yang pernah saya tonton, namun ia tetap sebuah filem yang menghiburkan, mengisi kekacauan hidup kita sementara belum sampai di akhir perjalanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN