KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), memperkukuh ekosistem inovasi korporat negara melalui pelaksanaan The BIG Programme (Bengkel Inovasi GLC) dengan peruntukan berjumlah RM15 juta pada 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, program berkenaan merupakan inisiatif bagi mempercepatkan agenda inovasi korporat melalui kerjasama strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat tersenarai awam (PLC) dan syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD).
Menurut beliau, usaha itu meliputi pembangunan bukti konsep (POC), program pemecut serta penciptaan niaga bersama antara pemain industri utama.
“Program ini turut meningkatkan penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), 5G, robotik dan analitik data bagi mengoptimumkan operasi serta mewujudkan peluang perniagaan baharu.
“Selain itu, ia akan membina ekosistem inovasi nasional yang menghubungkan kerajaan, korporat, pelabur dan syarikat pemula niaga (startup) bagi memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu pejabat syarikat itu, di sini.
Norman berkata, dana berkenaan akan digunakan bagi pembangunan POC serta pengujian dan pembangunan lanjut bagi membolehkan hasil inovasi diterapkan dalam operasi syarikat peserta.
“Fokus kami bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi membina budaya inovasi dalam organisasi korporat besar. Melalui The BIG Programme, kami mahu melihat GLC, PLC dan syarikat di bawah MKD menjadi peneraju transformasi digital serta menjadi contoh kepada syarikat lain di Malaysia.
“Cradle juga berhasrat menjadikan dana padanan kerajaan sebagai pemangkin kepada pelaburan lebih besar daripada sektor korporat dan swasta.
“Kita tidak perlukan dana besar untuk melihat impak besar. Apa yang penting ialah komitmen dan kesediaan syarikat untuk berubah. The BIG Programme diwujudkan bagi mencetuskan kesan pengganda dalam ekosistem inovasi negara,” jelasnya.
Beliau berkata, The BIG Programme yang merupakan kesinambungan daripada program perintis Bengkel Inovasi GLC (BIG) menyasarkan sekurang-kurangnya enam syarikat baharu, termasuk PLC dan syarikat MKD pada 2026.
“Bagi 2026, skop program tidak lagi terhad kepada GLC semata-mata. Kita akan melibatkan PLC dan syarikat MKD bagi memperkukuh impak inovasi di peringkat industri.
“Pelaksanaan program ini juga dijangka memberi kesan berganda kepada ekonomi negara, termasuk peningkatan kecekapan operasi syarikat, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta peluang pasaran baharu kepada startup tempatan.
“Kesan langsungnya bukan sahaja kepada syarikat peserta, tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem startup negara, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan inklusif dan mampan,” katanya.
Katanya, program berkenaan menjadi antara tonggak penting kepada Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, yang menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 20 ekosistem startup global terbaik menjelang 2030.
“Bagi mencapai sasaran itu, setiap komponen dalam rantaian nilai inovasi mesti memainkan peranan daripada penyelidik, startup, pelabur hingga ke syarikat korporat besar.
“The BIG Programme ialah platform untuk menyatukan semua pihak ini di bawah satu agenda inovasi nasional,” ujarnya.
Tambahnya, kriteria pemilihan syarikat korporat yang akan menyertai program itu akan dinilai berdasarkan kesediaan, komitmen dan potensi impak inovasi yang boleh dicapai melalui penyertaan mereka.
“Antara kriteria utama ialah penyelesaian yang dicadangkan perlu menangani isu utama yang memberi kesan bukan sahaja kepada syarikat berkenaan, tetapi juga kepada pasaran atau industri yang lebih luas.
“Selain itu, proses permohonan dan panduan penyertaan akan dikongsikan bersempena dengan pelancaran rasmi program ini pada suku pertama tahun 2026,” katanya.
Untuk maklumat lanjut dan pernyataan minat, syarikat-syarikat berkenaan boleh melayari pautan berikut:
🔗 Maklumat lanjut: https://big.myopeninnovation.com/
🔗 Pernyataan minat syarikat korporat: https://forms.office.com/r/bwsHNh50AJ – UTUSAN










