KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan kerugian ekonomi dan sosial sehingga RM39.8 bilion atau bersamaan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan 2020 akibat keadaan kesihatan planet yang semakin terjejas.
Kerugian tersebut turut dipacu oleh peningkatan kos akibat bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, selain wabak penyakit termasuk denggi yang memberi impak serius terhadap kesihatan rakyat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata situasi itu menyerlahkan hakikat, tanpa tindakan segera, keadaan akan menjadi lebih parah dan kosnya lebih tinggi pada masa depan.
“Bagi menangani isu ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengetuai pembangunan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (NPHAP) pada 2022. Pelan ini merupakan hala tuju nasional bersepadu yang mengintegrasikan kesihatan planet ke dalam tadbir urus, industri, pendidikan dan kehidupan seharian,” katanya pada ucapan perasmian Forum Kesihatan Planet Kebangsaan di Menara Matrade, di sini.
NPHAP dibangunkan melalui proses libat urus 10 langkah melibatkan ratusan pihak berkepentingan termasuk saintis, pembuat dasar, pemimpin komuniti, golongan muda, pihak industri serta suara masyarakat sivil. Pelan itu berteraskan enam Bidang Keputusan Utama, dipacu oleh 53 strategi dan 222 pelan tindakan.
Menurut Lih Kang, pelan berkenaan mentakrif semula kemajuan melebihi Pulangan Pelaburan (ROI) dengan turut mengambil kira Pulangan Berasaskan Nilai, termasuk rakyat lebih sihat, komuniti lebih kukuh, ekosistem lebih hijau serta daya tahan jangka panjang.
Malaysia diiktiraf Perikatan Kesihatan Planet sebagai antara negara terawal mengarusperdanakan kesihatan planet dalam pembangunan nasional, menjadikan negara komited di peringkat global untuk masa depan lebih sihat dan mampan.
MOSTI kini memberi tumpuan kepada lima bidang utama selaras kesihatan planet iaitu hidrogen, kecerdasan buatan, bioteknologi, teknologi aeroangkasa dan satelit serta ekosistem pemula niaga bagi mempercepat inovasi hijau.
Forum Kesihatan Planet Kebangsaan yang berlangsung di Menara Matrade menjadi platform perbincangan strategi dan usaha kolaboratif bagi memastikan impak positif pelan tersebut dirasai semua lapisan masyarakat.











