PETALING JAYA: Sebahagian besar wilayah Gaza termasuk lintasan Rafah masih berada di bawah kawalan tentera Israel sekali gus menyukarkan usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang terjejas.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, rakyat Gaza masih terpaksa berlindung di celah-celah runtuhan bangunan serta rumah yang musnah akibat serangan rejim Zionis itu.
Katanya, bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air bersih dan khemah yang dihantar hanya mampu memenuhi keperluan segera rakyat Gaza, namun jumlahnya masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhannya.
“58 peratus Gaza masih dikuasai tentera Israel termasuk lintasan Rafah. Rakyat Gaza keseluruhan berada di dalam kawasan 42 peratus yang telah ditinggalkan tentera Israel.
“Rakyat Gaza masih duduk di celah runtuhan bangunan, di dalam khemah dan juga rumah-rumah yang telah rosak akibat bedilan. Dengan adanya bantuan makanan dari luar, ia dapat membantu serba sedikit namun masih tidak mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jismi Johari berkata, pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan kini sedang menjalankan misi bantuan secara berfasa dengan menumpukan kepada bantuan segera seperti makanan, air dan ubat-ubatan.
“Sejak 10 oktober hanya 3,203 trak memasuki Gaza. 3,203 trak ini hanyalah kira-kira 24 peratus daripada 13,200 trak yang sepatutnya dibenarkan masuk di bawah perjanjian gencatan senjata (yang menetapkan 600 trak sehari),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada usaha menyediakan kemudahan asas dengan membaik pulih dua telaga air di Gaza yang kini memberi manfaat kepada ribuan penduduk wilayah itu.
Katanya, hasil sumbangan yang diberikan telah berjaya menyelesaikan penyelenggaraan dua telaga yang kini membantu memudahkan rakyat Gaza mendapatkan sumber air bersih.
“Alhamdulillah, Pengurus Besar MyCARE Gaza, Dr. Ziad Shaheda berjaya menyiapkan penyelenggaraan dua telaga air yang dapat memberi manfaat kepada ribuan penduduk.
“Dua tahun mereka tak dapat air bersih dengan mudah, kini mereka berjaya menikmatinya hasil bantuan para penyumbang,” katanya. – UTUSAN










