Tengku Permaisuri Selangor berkenan rasmi pelancaran diraja koleksi Anggun ‘Pesona Tanjung’ Poh Kong

Tengku Permaisuri Selangor berkenan rasmi pelancaran diraja koleksi Anggun ‘Pesona Tanjung’ Poh Kong

TENGKU Permaisuri Norashikin bersama barisan pengurus Poh Kong Jewellery Manufacturer serta Poh Kong Holdings Berhad dalam pelancaran koleksi terbaru Anggun 'Pesona Tanjung' di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melancarkan koleksi diraja Anggun ‘Pesona Tanjung’ keluaran Poh Kong serta berkenan melawat fasiliti pembuatan utama syarikat itu di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri yang tiba sekitar pukul 10.30 pagi disambut Pengarah Urusan Poh Kong Jewellery Manufacturer Sdn. Bhd., Christine Choon bersama barisan pengurusan syarikat berkenaan.

Selesai pelancaran, Tengku Permaisuri berkenan meninjau reruai pameran yang memaparkan rekaan dan latar belakang setiap koleksi Anggun termasuk ilham di sebalik corak ‘Pesona Tanjung’.

Tengku Permaisuri kemudian dibawa melawat ke bahagian pembuatan barang kemas Poh Kong yang menampilkan gabungan teknologi moden dan kemahiran pertukangan tangan tempatan.

Tengku Permaisuri juga turut menikmati santapan tengah hari bersama kakitangan dan tetamu sebelum meninjau reruai jualan produk emas keluaran syarikat itu.

Christine berkata, pelancaran tersebut menandakan lembaran baharu bagi Poh Kong serta memperkukuh keupayaan Malaysia sebagai hab inovasi dan pembuatan barang kemas mewah di rantau ini.

Katanya, mengambil ilham daripada bunga rasmi negeri Selangor, Bunga Tanjung, sembilan kelopak bunga itu melambangkan perpaduan, kesucian dan ketabahan wanita, serta mencerminkan keharmonian antara warisan budaya Malaysia.

“Kami amat berbesar hati atas keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Selangor yang berkenan merasmikan siri Anggun ‘Pesona Tanjung’ sempena pelancaran istimewa tersebut.

“Selama lebih 40 tahun, Poh Kong telah menggabungkan seni pertukangan emas dengan warisan budaya Malaysia. Koleksi Anggun mencerminkan keharmonian ini, diilhamkan oleh keindahan dan kekuatan wanita yang direalisasikan melalui kemahiran para tukang kami.

“Menjelang ulang tahun ke-50 Poh Kong pada 2026, kami berbangga terhadap insan-insan yang membina legasi ini dan terus membentuk perjalanan gemilang Poh Kong,” katanya dalam majlis pelancaran koleksi Anggun ‘Pesona Tanjung’, di sini hari ini.

Fasiliti pembuatan Poh Kong ditubuhkan pada 2001 dengan pelaburan RM30 juta dengan pusat latihan seluas 4,000 kaki persegi, menjadi nadi utama operasi syarikat, menggabungkan teknologi berketepatan tinggi dengan kemahiran pertukangan tangan tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN