IPOH: Pementasan teater Datuk Lat-Kampung Boy selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini merupakan satu penghormatan khas kepada Penerima Anugerah Seniman Negara ke-9, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris, Datuk Lat merupakan ikon negara yang berjaya membawa budaya dan identiti Malaysia ke persada antarabangsa.
“Pementasan karya tersebut merupakan satu kebanggaan besar kepada negeri Perak. Karya teater berasaskan komik realisme itu bukan sekadar mengangkat tokoh seni tersohor malah membawa nilai seni yang tinggi melalui penterjemahan visual yang dekat dengan jiwa masyarakat.
“Kami berharap karya ini menjadi medium penting untuk menyemai nilai budaya dalam kalangan penonton selaras aspirasi Malaysia Madani,” katanya selepas pementasan teater itu di sini semalam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menonton pementasan teater tersebut.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Pengarah JKKN Perak, Hisham Mat Husien.
Persembahan teater menampilkan pelakon hebat serta versatil seperti Taiyuddin Bakar, Safura Ya’cob dan Ilya Senario.
Mohd. Amran berkata, JKKN berbesar hati menyediakan platform berskala besar bagi memperkukuh kegiatan teater dan membangunkan khalayak baharu.
“Selain persembahan utama, program selama tiga hari itu turut diserikan aktiviti sampingan seperti Klinik Seni Budaya, Klinik Teater Kanak-kanak, sesi santai ‘Ate Moh Nyembang’ serta jualan makanan bagi memeriahkan suasana dan mendekatkan masyarakat dengan ekosistem seni budaya,” katanya.
Pementasan teater berprestij itu dianjurkan MOTAC melalui JKKN Perak dan Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak serta Yayasan Hasanah.
Ia mengisahkan Datuk Lat dewasa bertemu Lat Kecil yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak di Kampung Lalang, Gopeng sebelum berpindah ke Ipoh.
Lat merupakan anak sulung dalam keluarganya dan gemar menghabiskan masa bermain di hutan, dusun serta kawasan lombong timah bersama rakan-rakannya.
Pada usia sembilan tahun, beliau telah membantu menambah pendapatan keluarga dengan memanfaatkan bakat semula jadinya dalam bidang seni lukis melalui penjualan komik hasil tangannya kepada rakan-rakan sekolah. – UTUSAN










