PETALING JAYA: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak harus dinilai secara berat sebelah daripada sudut tarif semata-mata, sebaliknya dilihat sebagai strategi berimpak tinggi bagi memperkukuh daya saing industri dan kedudukan ekonomi negara di pasaran global.
Pensyarah Kanan Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Taylor’s Business School, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, pendekatan pragmatik kerajaan dalam rundingan itu bolehkan Malaysia mengekalkan akses pasaran ke AS sekali gus memberi kestabilan kepada pengeksport dan meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.
Katanya, perjanjian berkenaan memberi kejelasan dan kebolehramalan daripada dua faktor penting bagi perniagaan yang merancang strategi pengeluaran dan eksport jangka panjang.
“Walaupun tarif terhadap barangan bernilai rendah kelihatan merugikan pada awalnya, ia sebenarnya mencipta insentif kepada syarikat tempatan untuk berinovasi, mengautomasikan operasi dan menaik taraf teknologi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas ahli Parlimen pembangkang kononnya kerajaan menggadai kedaulatan negara melalui ART 2025 dengan AS.
Anwar dipetik sebagai berkata, pemikiran kerajaan sedang menggadai negara melalui Perjanjian ART 2025 adalah satu bentuk penjajahan baharu yang wujud dalam kalangan pembangkang disebabkan mereka menjadikan fakta separuh benar sebagai kebenaran mutlak.
Rundingan berkenaan langkah strategik mengekalkan akses Malaysia ke pasaran eksport AS yang mencatat RM198.65 bilion pada 2024, daripada jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia-AS sebanyak RM325 bilion.
Paul berkata, sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju dan pemprosesan hiliran minyak sawit berpotensi besar mendapat manfaat daripada penekanan semula terhadap penggunaan teknologi, penjenamaan dan pembezaan produk.
“Ini sejajar Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan eksport nilai tambah, pengeluaran hijau serta pelaburan berteknologi tinggi,” katanya.
Dalam konteks ini, katanya, struktur tarif AS bukan halangan kepada Malaysia, sebaliknya menjadi pemangkin transformasi industri tempatan.
Beliau berkata, perjanjian tersebut memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau, memandangkan AS telah mengenal pasti Malaysia sebagai rakan strategik dalam bidang mineral kritikal, pemasangan semikonduktor dan pembuatan berketepatan tinggi.
“Apabila rantaian bekalan global mula mempelbagaikan sumber bagi mengurangkan kebergantungan tunggal, kestabilan politik Malaysia, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan ekosistem industri yang kukuh menjadikan negara ini hab pelaburan menarik di Asia Tenggara,” katanya.
Dalam jangka panjang, katanya, kedudukan strategik ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dari AS, khususnya dalam sektor teknologi, logistik dan tenaga boleh diperbaharui. – UTUSAN










