PETALING JAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) perlu memberi perhatian terhadap pelbagai isu yang membelenggu kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur termasuk keberadaan warga asing, penyelenggaraan infrastruktur asas serta status guna tanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara perkara lain yang perlu ditangani adalah tanah pertanian yang telah dipenuhi struktur kediaman tanpa kelulusan sehingga boleh menjejaskan perancangan pembangunan bandar.
“Saya mengarahkan JWP memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang membelenggu kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur.
“Ini termasuk isu keberadaan warga asing, penyelenggaraan jalan dan longkang, serta status guna tanah, termasuk kawasan pertanian yang sudah dipenuhi struktur kediaman tanpa kelulusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Zaliha, arahan itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus tanah serta memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara teratur, berasaskan data dan berfokus kepada kesejahteraan komuniti.
Katanya, arahan itu diberikan semasa mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan semalam.
Pada mesyuarat itu, turut diadakan pelancaran awal aplikasi Mobil e-Tanah yang bakal beroperasi secara rasmi pada 11 November ini.
Aplikasi berkenaan dibangunkan bagi memperkemas akses rakyat kepada maklumat dan perkhidmatan tanah di Wilayah Persekutuan dengan lebih mudah, cepat dan telus.
Selain itu, mesyuarat turut menyaksikan pembentangan menyeluruh oleh agensi-agensi di bawah JWP mengenai inisiatif peningkatan kecekapan tenaga dan pengurusan aset menggunakan teknologi tenaga baharu.
Kataya, langkah tersebut bertujuan menyokong pensijilan bangunan hijau serta mengurangkan kos elektrik kerajaan selaras dengan agenda Bandar CHASE.
“Keseluruhan langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk memperkukuh tadbir urus tanah dan memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan berjalan secara teratur serta berfokus kepada kesejahteraan komuniti,” katanya. -UTUSAN










