KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan kajian geoteknikal bagi menilai struktur lapisan tanah di jalan-jalan utama sekitar kawasan segi tiga emas di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti profil dan kestabilan tanah di pusat bandar susulan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India tahun lalu.
“Pemantauan setakat ini mendapati tiada kawasan berisiko terhadap lubang benam. Dapatan ini penting bagi memastikan keselamatan struktur dan utiliti bawah tanah, terutama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC,” katanya ketika menjawab soalan Yusuf Abd. Wahab (PN–Tanjong Manis) di Dewan Rakyat hari ini.
Insiden 23 Ogos tahun lalu menyaksikan seorang wanita dari India, G. Vijaya Lakshmi hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
DBKL kemudiannya menubuhkan pasukan khas bagi menilai keselamatan struktur tanah, menyediakan cadangan teknikal serta mengkoordinasi tindakan pelbagai agensi.
Zaliha berkata, Pasukan Respons Kecemasan (ERT) turut ditubuhkan bagi memastikan tindakan pantas sekiranya berlaku insiden sama pada masa akan datang.
Menurutnya, DBKL akan mengeluarkan edisi khas laporan insiden lubang benam Jalan Masjid India pada akhir tahun ini bagi bacaan umum.
Laporan itu katanya dijangka dapat memberi kelegaan kepada orang awam yang bimbang tentang kestabilan tanah di ibu negara.
“Setahun selepas insiden, kawasan Jalan Masjid India sudah pulih. Aktiviti keramaian seperti sambutan Deepavali dan lawatan Perdana Menteri menunjukkan keyakinan orang awam kembali ke kawasan itu,” katanya.
Zaliha berkata, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, sekali gus membantu merangka strategi mitigasi lebih komprehensif di peringkat nasional. -UTUSAN










