ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu menyemak semula penilaian baharu taksiran agar tidak merosakkan pola nilai pasaran di kawasan terlibat.
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew yang juga juruukur bertauliah berkata, penilaian yang dibuat ketika ini didapati tidak mengikut prinsip penilaian iaitu ‘rebus sic stantibus’ dan ‘tone of the list’.
Katanya, orang ramai khususnya pemegang hartanah meragui dan kurang fasih bagaimana pegangan mereka dinilai sehingga melebihi harga pasaran yang menyebabkan cukai taksiran dikenakan mencecah 1,000 peratus bagi komersial.
“Antara kes-kes yang nilai diragui adalah sebuah kilang yang dibeli pada harga RM4.5 juta tetapi dinilai lebih RM11 juta. Banyak pengilang mengadu kilang mereka telah dinilai lebih tinggi daripada bank.
“Malah, rumah kedai dua tingkat di Taman Angsi pula dinilai RM4 juta dan rumah kedai dua tingkat di Kota Sarang Semut dinilai secara berasingan dan menyebabkan jumlah nilai mencecah RM900,000 sebuah dan rumah kedai lot tepi bernilai melebihi RM2.5 juta.
“Ada juga kes rumah teres kos rendah lot hujung dinilai lebih daripada RM450,000 dan tiga buah bangunan pejabat bersambungan mempunyai nilai yang berlainan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan keresahan warga Alor Setar apabila menerima ‘surat putih’ daripada MBAS yang memaklumkan kadar baharu cukai taksiran dengan sebahagiannya dilaporkan meningkat melebihi 200 peratus.
Kata Kok Yew, penilaian pegangan setiap lima tahun adalah peruntukan di bawah Akta 171 atau Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk memberi keadilan kepada rakyat dan bukan membebankan mereka.
“Ini disebabkan nilai hartanah berubah mengikut masa dan tempat. Contoh kawasan yang aktif pada tahun 1993 adalah Jalan Sultan Badlishah, CBD bandaraya Alor Setar tetapi kini mungkin sudah bertukar ke tempat lain.
“Tambahan lagi, pegangan ini sudah menjadi usang, kurang pembaikan, tempoh pajakan yang semakin memendek dan sebagainya yang boleh mempengaruhi nilai hartanah tersebut termasuk menurun,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MBAS juga perlu memberi penjelasan mengapa asas taksiran bagi penilaian semula cukai pintu bertukar daripada nilai tahunan kepada nilai tambah.
“Bagi pemilik yang ingin membantah, asas bantahan adalah nilai tambah tersebut sama ada memaparkan harga pasaran hartanah atau tidak. Ini dapat dibuktikan melalui penilaian oleh penilai berdaftar swasta atau bukti-bukti jual-beli pada tahun 2024,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan MBAS yang menetapkan tarikh akhir bantahan hanya setakat 5 November, sedangkan notis pemberitahuan itu dimaklumkan akan diedar sehingga 19 November ini selain masih ramai lagi pemilik yang belum menerima surat berkenaan. – UTUSAN










