Takiyuddin persoal tiada soalan pembangkang dipilih dalam Waktu Pertanyaan Menteri

Takiyuddin persoal tiada soalan pembangkang dipilih dalam Waktu Pertanyaan Menteri

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi membangkitkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa soalan-soalan yang dikemukakan ahli Parlimen mereka tidak tersenarai dalam Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, pada 20 November lalu, pembangkang telah mengemukakan empat soalan namun tiada satu soalan yang disenaraikan.

Katanya, perkara sama berulang hari ini apabila tiga soalan berkaitan isu semasa yang dihantar juga tidak dimasukkan dalam senarai MQT.

“Kita sudah hantar empat soalan pada 20 November. Kalau sebelum ini Yang Dipertua Dewan Rakyat kata tidak padan, satu pun tidak naik. Hari ini pula, tiga soalan semasa tidak disenaraikan.

“Contohnya soalan daripada Sik mengenai protes terhadap Malaysia di Bangkok dan soalan dari Padang Terap serta Setiu berkaitan ancaman banjir. Jadi, apa sebenarnya berlaku?” katanya.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau mempunyai senarai soalan daripada kedua-dua blok iaitu kerajaan dan pembangkang dan menegaskan bahawa Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjong Karang) masih dikira sebagai ahli Parlimen pembangkang.

“Seboleh mungkin saya akan beri peluang kepada semua, tetapi asasnya ia mesti berlaku adil. Untuk itu, Tanjong Karang masih pembangkang,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) meminta agar hak 68 ahli Parlimen pembangkang tidak diketepikan.

Beliau merujuk kepada sesi minggu lalu apabila Mohd. Azizi Abu Naim (PN–Gua Musang) iaitu salah seorang daripada enam ahli Parlimen pembangkang yang menyokong kerajaan diberi peluang mengemukakan soalan dalam sesi MQT.

“Tidak mengapa kalau hendak beri peluang tetapi jangan sampai menafikan terus. Jika Tanjong Karang bertanya soalan, kami pula tidak boleh bertanya soalan tambahan,” katanya.

Johari turut memberi jaminan peluang sama akan tetap diberikan kepada semua ahli Parlimen pembangkang.

“Kalau Kota Bharu tengok, sebelum ini enam ahli Parlimen yang menyokong kerajaan jarang mendapat soalan. Selalunya saya beri kepada yang majoriti (pembangkang).

“Sekarang, untuk keadilan, saya berikan kepada mereka kerana mereka masih pembangkang,” katanya.

Pada 11 November lalu, sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) turut kecoh apabila beberapa wakil rakyat mendakwa soalan pembangkang tidak dipilih selama tiga minggu berturut-turut.

Johari berkata, berdasarkan penelitian beliau, semua soalan daripada pembangkang telah dijawab sebelum ini, malah tidak timbul dakwaan beliau berat sebelah atau hanya memberi ruang kepada soalan daripada blok kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN