PETALING JAYA: Pelakon, Sweet Qismina mendedahkan dirinya hampir tidak menghadiri malam kemuncak International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) di Kuching, Sarawak, kerana sibuk dengan urusan kerja.
Bagaimanapun, Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 28, berubah hati pada saat akhir selepas dipujuk oleh penerbit filem Babah, Nads Media Entertainment.
“Sepatutnya memang saya tak hadir pun acara ini sebab bertindih dengan kerja. Penerbit Babah pujuk, tanya saya dan mahu uruskan semua, jadi saya ubah keputusan untuk datang juga.
“Lucunya, saya sudah siap bersolek di Kuala Lumpur tetapi tata rias rambut pula dilakukan di Kuching. Memang huru-hara jugalah di saat akhir.
“Bila hadir, menang pula. Memang betul-betul rahsia Tuhan,” ujarnya.
Sweet dalam masa sama tidak menyangka dirinya dipilih sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) memandangkan pesaing terdekatnya tidak kurang hebatnya.
Antara calon lain ialah Hong Dao dari Vietnam, Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan Katrina Halili (Filipina).
“Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA ini memang sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri dan otak saya.
“Saya sudah berlakon sejak kanak-kanak. Jadi, untuk terima anugerah ini adalah satu perkara yang sangat bermakna dalam kanvas kerjaya saya,” katanya.
Tiada niat mendabik dada, Sweet menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat memberikan persembahan lakonan lebih baik pada masa hadapan.
“Semasa FFM34 lalu, saya beritahu tidak mudah nak bawa kemenangan itu. Kemudian terima lagi anugerah lain dan jadi wakil Malaysia.
“Bertambah satu lagi tanggungjawab yang besar. Saya tak tahu kenapa Allah bagi rezeki ini, mungkin Dia nak saya beri hasil kerja lebih baik selepas ini.
“Kemenangan ini bukan satu perkara yang saya boleh buat main-mainlah. Pilihan juri ini bukan sebab populariti tetapi kualiti,” jelasnya.
AIFFA2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema ‘Under The Star’ untuk edisi kali ini, berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching, semalam. -UTUSAN










