DIBERIKAN kepercayaan oleh rakyat sejak lebih satu dekad lalu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup di bawah Parlimen Bagan Datuk di Perak menjadi pendorong utama untuk Datuk Shahrul Zaman Yahya terus berbakti dan memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan itu terpelihara.
Shahrul Zaman, 58, yang merupakan ADUN Barisan Nasional (BN) ialah anak jati Kampung Sungai Sumun, Hutan Melintang.
Mandat yang diterimanya sejak Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 amat dihargai dan menjadi amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.Kini memasuki penggal ketiganya sebagai wakil rakyat, beliau mengakui cabaran dalam memenuhi keperluan rakyat semakin rumit, namun semangat untuk berkhidmat tidak pernah luntur.
Menurut beliau, keutamaan sebagai ADUN adalah memastikan setiap aduan rakyat ditangani segera, tanpa mengira masa atau tempat.

“Saya sentiasa memandang serius setiap masalah penduduk. Jika ada isu dilaporkan, saya akan turun padang secepat mungkin dan menyalurkan bantuan mengikut keperluan,” jelasnya.
Penglibatan beliau dalam dunia politik bermula pada tahun 2000 sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk .
Pada 2002 sebagai Setiausaha Biro Teknologi Maklumat Pergerakan Pemuda UMNO dan 2004 hingga 2009 sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO.
Pada 2008 sehinggakan 2013, beliau menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri.
Antara isu utama yang sering dibangkitkan oleh rakyat di DUN Rungkup ialah peluang pekerjaan, kemudahan asas dan infrastruktur kampung seperti jalan raya, sistem perparitan serta capaian internet yang masih perlu ditambah baik.
Selain itu, isu peningkatan taraf hidup golongan belia, nelayan dan petani turut menjadi tumpuan utama dalam perancangan pembangunan Rungkup.
Menjelaskan pendekatannya bersama rakyat, Shahrul Zaman berkata beliau, mengamalkan gaya kepimpinan turun padang dan mendengar secara langsung suara rakyat sebelum menyalurkan aduan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan segera.
“Pendekatan sebegini membolehkan kita menyelesaikan masalah dengan lebih pantas.
“Dalam masa sama, kita gerakkan pelbagai inisiatif komuniti termasuk program latihan kemahiran belia dan bantuan kepada nelayan serta usahawan kecil,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, atas bimbingan dan sokongan berterusan dalam memperjuangkan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut.

Shahrul Zaman Yahya menziarahi penduduk yang mengalami masalah kesihatan di di Bagan Datuk. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDINEkonomi di DUN Rungkup banyak bergantung kepada sektor perikanan, pertanian dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang menjadi nadi kepada kehidupan penduduk setempat.
Ramai penduduk bekerja sebagai nelayan, petani kelapa dan peniaga kecil, selain mengusahakan produk makanan tradisional serta hasil laut yang mendapat sambutan baik.
Menyedari keperluan untuk berdaya saing, Shahrul Zaman memberi fokus kepada pemodenan sektor tradisional dengan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu dalam bidang pertanian dan perikanan.
“Kita juga galakkan belia menjadi usahawan digital dan agropreneur, supaya ekonomi tempatan tidak hanya bergantung kepada cara lama tetapi berkembang mengikut trend semasa,” katanya.
Dengan peningkatan jaringan infrastruktur seperti Jambatan Bagan Datuk atau Jambatan Sultan Nazrin Shah dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Shahrul Zaman yakin peluang pelaburan serta pekerjaan akan bertambah dari masa ke masa.
Menurutnya, pembinaan jambatan itu memberi impak besar terhadap pergerakan penduduk dan menjadikan hubungan antara Bagan Datuk, Manjung, Setiawan dan Perak Tengah lebih lancar.
“Kesan langsungnya amat ketara. Peniaga, pelancong dan komuniti tempatan kini menikmati manfaat ekonomi yang lebih luas hasil peningkatan aliran keluar masuk ke daerah ini,” katanya.
Shahrul Zaman menyifatkan pembangunan itu sebagai hasil usaha berterusan Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang memastikan pembangunan seimbang di kawasan luar bandar.
WCE pula, katanya, membawa kesan positif yang besar apabila perjalanan ke bandar-bandar utama menjadi lebih singkat, sekali gus merancakkan pertumbuhan perniagaan tempatan dan menarik pelabur baharu.
“Saya yakin Bagan Datuk berpotensi menjadi daerah maju berasaskan pertanian moden, perikanan lestari dan pelancongan komuniti,” katanya.
Dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan agensi Persekutuan, beliau percaya DUN Rungkup akan terus berkembang sebagai kawasan yang berdaya saing dan makmur.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jabatan kerajaan, penghulu, orang besar jajahan (OBJ) serta ketua-ketua kampung yang banyak membantu menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan rakyat.
“Harapan saya agar DUN Rungkup dan Bagan Datuk terus membangun secara inklusif dan lestari.
“Dengan bimbingan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya yakin kawasan ini mampu menjadi model kemajuan luar bandar yang berjaya di Perak dan Malaysia keseluruhannya,” katanya. –UTUSAN










