Sungai tercemar: Tiga syarikat perlombongan diarah henti operasi - Utusan Malaysia

Sungai tercemar: Tiga syarikat perlombongan diarah henti operasi

SAARANI Mohamad melawat pameran pada Program Jelajah Taat setia Madani di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga syarikat perlombongan diarah menghentikan operasi serta merta susulan pencemaran yang menyebabkan air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar menjadi kebiruan baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga sementara siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar perubahan warna air sungai.

“Ketiga-tiga syarikat perlombongan itu berlesen dan masih beroperasi namun saya telah arahkan mereka berhenti sementara waktu sehingga kerajaan negeri berpuas hati tiada kaitan dengan kejadian ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Perak di Ipoh Convention Centre di sini semalam.

Menurut Saarani, kerajaan negeri memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan beberapa jabatan teknikal utama ke lokasi bagi menjalankan siasatan segera.

Antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.

“Saya telah minta Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan berkaitan mengambil tindakan segera. Buat masa ini, saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan rasmi sehingga laporan penuh diterima,” katanya.

Beliau berkata, laporan awal mendapati terdapat ikan yang mati di kawasan berkenaan yang menunjukkan kemungkinan berlaku pencemaran.

“Memang ada ikan yang mati, menunjukkan ada sesuatu berlaku di situ. Namun, kita tunggu laporan rasmi jabatan teknikal,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang atau pencemaran.

“Kalau benar ada pihak yang menyebabkan pencemaran, kerajaan negeri tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN