KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan, mengakui dirinya seorang yang sukar menitiskan air mata, walaupun ketika melalui detik perit dalam kehidupan termasuk pengalaman putus cinta.
Menurut Afgan, 36, emosi sedih yang dialaminya lebih banyak diluahkan menerusi karya seni, termasuklah dalam album terbaharunya, Retrospektif.
“Saya ini orang yang susah menangis. Mungkin kali terakhir saya menangis ialah ketika menunaikan haji.
“Kalau sedih atau kecewa, saya lebih suka menyalurkan perasaan itu melalui lagu. Banyak kisah peribadi saya tersimpan dalam lagu-lagu lama, dan ada juga yang saya kongsi dalam album baharu ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Kacamata itu enggan mengulas lanjut mengenai status peribadinya sama ada sedang menjalin hubungan istimewa atau masih dalam proses memulihkan diri daripada kekecewaan lalu.
Afgan turut mengakui melalui proses yang cukup mencabar ketika merakamkan album tersebut kerana perlu mengimbau kembali kenangan silam yang menyentuh perasaan.
“Waktu rakaman memang mencabar dan meletihkan dari segi emosi sebab saya perlu mengingat kembali memori lama. Ia bukan perkara mudah, tapi saya puas hati dengan hasilnya.
“Saya harap pendengar dapat mengenal diri saya dengan lebih mendalam selepas mendengar album ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Afgan berkata album Retrospektif yang dijadualkan dilancarkan pada 19 November ini dirakam sepenuhnya di Ubud, Bali, dan hanya mengambil masa dua minggu untuk proses pengumpulan material.
“Proses penciptaan lagu berlangsung dua minggu sahaja kerana penerbit album ini, Petra Sihombing, tinggal di Bali. Kemudian kami sambung dua minggu lagi untuk rakaman. Pendek kata, memang agak terkejar-kejar.
“Namun berada di Ubud membantu saya melihat kembali emosi diri dengan lebih tenang berbanding suasana sibuk di Jakarta,” ujarnya. -UTUSAN










