Orang tetap mahu dengar perkataan ‘suami’ - Adam Lee

Sudah sebut ‘backbone’, tapi orang tetap mahu dengar perkataan ‘suami’ – Adam Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Lee hairan apabila ucapan kemenangan isterinya, Sweet Qismina, menjadi perdebatan netizen hanya kerana aktres itu tidak menyebut namanya secara khusus ketika menerima anugerah di dua majlis filem berprestij, baru-baru ini.

Adam atauMuhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, menegaskan perkara itu tidak wajar diperbesarkan kerana baginya, kejayaan Sweet menggenggam dua trofi di peringkat dalam dan luar negara jauh lebih penting untuk diraikan.

“Dia sudah berlakon sejak umur sembilan tahun hingga sekarang. Kita tahu betapa sukarnya pelakon kanak-kanak untuk kekal relevan, tetapi Sweet berjaya buktikan kemampuan. Bagi saya, setiap anugerah yang dia terima memang selayaknya.

“Janganlah tunggu umur 40 tahun baru nak hargai. Anugerah itu pun hasil pemilihan juri, bukan undian. Maksudnya, juri benar-benar nampak sesuatu dalam lakonannya,” katanya.

Adam berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis HOHO Hype Up Anugerah Bintang Popular Ke-37, di sini, baru-baru ini.

Menurut Adam, Sweet sebenarnya sudah mengucapkan terima kasih kepadanya, namun segelintir masyarakat tidak memahami maksud sebenar ucapan tersebut.

“Sweet sangat gemuruh. Lagi pula, dalam ucapannya dia sudah sebut ‘backbone’ iaitu tulang belakang. Jika faham, itu sebenarnya ditujukan kepada saya. Tapi masyarakat tetap mahu dia sebut perkataan ‘suami’.

“Demi Allah, saya tidak terasa hati. Saya tonton semula video kemenangan itu dan saya faham maksudnya. Cuma pandangan orang yang menjadikan perkara itu seolah-olah tidak kena,” katanya yang sentiasa mendoakan kejayaan isterinya.

Terdahulu, Sweet merangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Asean International Film Festival and Awards (AIFFA) 2025 menerusi lakonannya dalam filem Babah.

Pengiktirafan itu hadir hanya lapan hari selepas beliau diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN