PUTRAJAYA: Kerajaan memberi peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan sebarang gangguan keselamatan khususnya sepanjang lawatan rasmi pemimpin negara asing ke Malaysia dalam masa terdekat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah tegas akan diambil jika ada pihak cuba mencetuskan gangguan itu.
“Perdana Menteri membuat satu keputusan, pendirian kerajaan untuk tidak mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, terutama sewaktu negara akan menerima tetamu dalam masa terdekat.
“Jadi langkah tegas akan diambil untuk pastikan dan jamin keselamatan awam dan juga tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Sebelum ini, Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram dilaporkan mahu mengetuai demonstrasi di hadapan kompleks beli-belah Sogo hari ini bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa izin.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 7 hingga 8 Februari atas jemputan Anwar iaitu lawatan balas susulan lawatannya ke India pada Ogos 2024.
Ketika mengulas kenyataan dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai kajian cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fahmi berkata, cadangan itu tidak seharusnya dipandang rendah.
Menurutnya, beliau akui kesal kerana ada pihak yang mempertikai keupayaan UIAM untuk melakukan kajian ini.
“Bagi saya itu satu sikap yang tidak baiklah oleh ahli politik ini. Dia sepatutnya melihat UIAM sebagai satu institusi pendidikan yang mampu melakukan kajian. Jadi itu bagi saya, dia tidak sepatutnya berkata begitu.
“Sangat tak bertanggungjawab dan dia melihat ke bawah satu institusi yang sangat penting yang telah melahirkan ramai, bukan hanya pemimpin dalam negara kita, malah pemimpin di negara-negara lain,” katanya
Berkenaan dengan perayaan Tahun Baharu Cina 2026 minggu depan, Fahmi berkata, kerajaan bersetuju memberikan potongan tol dan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta membantu rakyat membuat keputusan tentang tarikh atau waktu sesuai untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan ini.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membuat pengumuman dalam masa terdekat, Insya-Allah mengenai pemberian diskaun tol sempena cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan melaksanakan kawalan harga barang selama sembilan hari bermula 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, sebanyak 16 jenis barangan dikawal harga di bawah Skim Harga Maksimum bertujuan memastikan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah.-UTUSAN










