MELAKA: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, hari ini bagi didakwa atas pertuduhan mendera anak angkat lelaki mereka berusia lapan tahun menggunakan pemetik api dan air panas dalam kejadian pada Ogos dan Oktober lalu.
Tertuduh, Badrul Amin Yazid dan isterinya, Nur Amiesya Saim, masing-masing berusia 27 dan 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ayah dan ibu angkat kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ketika kejadian telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu.
Perbuatan itu adalah dengan cara yang mungkin akan menyebabkannnya mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang dilakukan di dua rumah berasingan di Taman Merdeka Jaya dan Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini pada kira-kira pukul 8.30 malam 20 Ogos dan 29 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, yang masing-masing menawarkan jaminan RM40,000 dan RM30,000 beserta syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Badrul Amin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Nur Amiesya dibenarkan jaminan RM9,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan agar kedua-dua tertuduh tidak mendekati mangsa serta saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Disember ini bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sepasang suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, bagi membantu siasatan kes dera anak angkat lelaki yang didakwa disiram air panas dan dicucuh dengan pemetik api hanya kerana menghilangkan pensil warna di sekolah. -UTUSAN










