Skim pendidikan tinggi percuma Sarawak diyakini lahir ramai tenaga kerja terlatih

Skim pendidikan tinggi percuma Sarawak diyakini lahir ramai tenaga kerja terlatih

Abang Johari ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-10 UTS, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU: Skim pendidikan tinggi percuma oleh Kerajaan Sarawak, yang akan mula berkuat kuasa pada tahun depan diyakini akan melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang terlatih pada masa depan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia selaras dengan matlamat untuk melahirkan tenaga kerja yang dapat menyokong serta mengekalkan pembangunan ekonomi dalam bidang seperti teknologi, kesihatan dan kejuruteraan.

“Skim pendidikan percuma ini akan menyokong pembangunan Sarawak. Dengan lebih ramai anak muda Sarawak berpeluang melanjutkan pelajaran, kita akan memiliki tenaga kerja yang lebih terlatih,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata dengan inisiatif itu, Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian bagi semua pelajar anak Sarawak yang layak di institusi milik Kerajaan Sarawak seperti UTS, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, i-CATS dan CENTEXS.

Selain itu, katanya pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah juga akan menerima elaun sara hidup bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Ketiadaan beban kewangan untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi akan memberi peluang kepada generasi muda, terutama dari komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah untuk mencapai cita-cita akademik mereka dan menyumbang kepada ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya.

Abang Johari yang juga Pro-Cancelor UTS menambah, inisiatif itu direka dengan fleksibiliti dan graduan tidak akan terikat untuk bekerja di lokasi tertentu.

Katanya mereka digalakkan untuk mencari peluang di luar negeri jika mahu dan kembali ke Sarawak apabila sudah bersedia dengan membawa pengalaman serta perspektif global yang berharga.

“Ini mencerminkan keyakinan kita terhadap generasi muda agar berkembang, meneroka dan akhirnya kembali menyumbang kepada komuniti dengan cara yang bermakna,” katanya.

Beliau turut menegaskan, skim pendidikan tinggi percuma itu bukan sekadar dilihat dari sudut kebajikan tetapi sebagai pelaburan jangka panjang terhadap masa depan Sarawak.

Katanya pelaksanaannya amat penting pada ketika pendidikan tinggi semakin menjadi faktor utama dalam mempersiapkan individu untuk alam pekerjaan dan meningkatkan mobiliti sosial.

“Dengan perubahan pesat industri akibat digitalisasi dan persaingan global yang semakin sengit, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendidikan semakin meningkat.

“Dengan menawarkan akses percuma kepada pendidikan tinggi, Sarawak bukan sahaja menangani jurang ekonomi tetapi juga membina tenaga kerja bersedia masa depan yang akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN