“Saya kena reda kalau Allah tarik suara saya.” Itu kenyataan yang pernah diucapkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang sebelum ini pernah diuji dengan masalah peti suara sehingga menjejaskan nyanyiannya.
Namun berkat usaha, doa dan kesabaran, Siti akhirnya berjaya memiliki semula keupayaan vokal seperti sebelumnya.
“Aset setiap penyanyi adalah suara. Saya tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan semula suara saya yang pernah terganggu sebelum ini.
“Saya rujuk kepada doktor pakar, ikut saranan yang diberikan untuk pulihkan semula kotak suara saya.
“Alhamdulillah, saya akhirnya mampu menyanyi seperti dulu selepas melalui pelbagai proses,” ujarnya.
Siti berkata demikian pada majlis pelancaran dan sidang media album Gema Bumantara, baru-baru ini.
Penyanyi nombor satu negara itu mengakui berdepan tekanan setiap kali menghasilkan album baharu.
“Peminat menaruh harapan dan menantikan sebuah album yang lebih baik berbanding album tradisional saya sebelum ini.
“Saya janjikan yang saya tidak main-main, sentiasa mahu menghasilkan album terbaik dan tidak pernah berkompromi soal kualiti,” katanya.- UTUSAN










