PUTRAJAYA: Pendidikan tidak harus dilihat sebagai alat mencapai kemajuan ekonomi sahaja, sebaliknya perlu menjadi asas pembentukan nilai kemanusiaan sejagat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sistem pendidikan masa depan perlu menekankan nilai kemanusiaan dan kemajuan teknologi supaya ia tidak terpisah daripada matlamat sebenar pembangunan manusia.
“Masyarakat berpengetahuan bukan sahaja mahir dalam sains dan teknologi tetapi beretika, berempati dan bertanggungjawab terhadap kemanusiaan sejagat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini, hari ini.
Katanya, dunia kini sedang berdepan perubahan besar akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan tekanan sosial, justeru pendidikan perlu menjadi benteng keseimbangan antara kemajuan dan nilai insani.
Fadillah berkata, kerajaan memberi tumpuan terhadap pengukuhan pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), literasi digital serta pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam era baharu ini.
Katanya, kepentingan pendidikan hijau yang berteraskan kelestarian alam sekitar perlu ditekankan sebagai sebahagian daripada transformasi pendidikan masa depan.
Katanya, kesedaran terhadap penjagaan alam dan tanggungjawab terhadap bumi perlu diterap sejak peringkat awal pendidikan agar seimbang antara kemajuan dan kelestarian.
Selain itu, katanya, beliau menyeru masyarakat supaya melihat pendidikan sebagai jambatan membina perpaduan global, bukannya medan persaingan yang memecahbelahkan. – UTUSAN










