Sindiket ganja RM5.34 juta tumpas

Sindiket ganja RM5.34 juta tumpas

YAHAYA Othman menunjukkan rampasan dadah bernilai RM5.34 juta dalam dua operasi dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Pahang , Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dengan rampasan keseluruhan bernilai RM5.34 juta dalam dua operasi di Bentong dan Maran, awal bulan ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam serbuan pertama pada 4 November lalu, polis menemukan 240 bungkusan plastik lutsinar berisi ganja seberat 140.4 kilogram dianggarkan bernilai RM5.04 juta yang disembunyikan dalam sebuah kereta Toyota Camry di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Jalan Lama Bentong–Bukit Tinggi.

“Bertindak atas maklumat awam, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Bentong bersama anggota Balai Polis Bukit Tinggi menjalankan pemeriksaan dan mendapati kereta itu ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh kotak coklat bertulisan Flash, dua kotak bercorak buah-buahan serta empat guni berisi dadah dipercayai jenis ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Pahang  di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan dari Johor Bahru dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pada 6 November lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di kawasan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Maran arah Kuala Lumpur dan menjumpai 102 bungkusan ganja seberat 98 kilogram bernilai RM303,800 di dalam kereta jenis Perodua Ativa dipandunya.

“Suspek yang berperanan sebagai transporter mengaku menerima upah antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap penghantaran. Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau, termasuk pelbagai kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Kanun Keseksaan,” katanya.

Yahaya berkata, kedua-dua rampasan itu dianggarkan mampu menjejaskan bekalan dadah yang boleh merosakkan hampir 476,800 penagih sekiranya terlepas ke pasaran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×