Silicon X hasilkan cip FPGA pertama buatan Malaysia

Silicon X hasilkan cip FPGA pertama buatan Malaysia

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) menunjukkan cip Field Programmable Gate Array (FPGA) pertama buatan Malaysia ketika sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sektor semikonduktor negara mencipta sejarah tersendiri apabila sebuah syarikat inkubasi di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5KM+) iaitu Silicon X Sdn. Bhd berjaya membangunkan cip ‘Field Programmable Gate Array’ (FPGA) pertama buatan Malaysia.

Lebih membanggakan , Silicon X juga menjadi syarikat pertama di Asia Tenggara yang berjaya berbuat demikian, sekali gus menguatkan aspirasi Pulau Pinang untuk merealisasikan visi ‘Dibuat oleh Malaysia’ selain mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab semikonduktor global ketika ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan itu juga menandakan tahap kemampuan tenaga kejuruteraan tempatan untuk menembusi sempadan teknologi global, hasil dedikasi pasukan jurutera muda yang komited dalam membangunkan semikonduktor bertaraf dunia sepenuhnya dari Malaysia.

“Dalam hal ini, Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah kepada inovator seperti Silicon X yang merealisasikan aspirasi kami untuk menghasilkan cip ‘Dibuat oleh Malaysia’ yang direka, dibangunkan dan digerakkan dari Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Silicon X yang diasaskan pada 2024 merupakan sebuah firma reka bentuk dan pengeluaran litar bersepadu (IC) tempatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pintar, pemprosesan data masa nyata, automasi, serta pecutan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kejayaan Silicon X menjadi bukti jelas keupayaan Pulau Pinang dalam menyokong inovasi berteknologi tinggi serta membangunkan cip buatan tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi import dan sebagainya.

“Silicon X kini berada di barisan hadapan dalam usaha memacu kemajuan cip boleh atur cara yang mampu menyokong pelbagai sektor strategik negara seperti AI, telekomunikasi, robotik dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan dua buah syarikat tempatan baharu iaitu Channel Microsystems dan Tenasic Technology sebagai kumpulan kedua syarikat inkubasi di bawah program PSD@5KM+.

“Dengan penyertaan dua syarikat baharu ini, PSD@5KM+ kini mempunyai tujuh syarikat reka bentuk IC tempatan, sekali gus mendekatkan Malaysia kepada sasaran National Semiconductor Strategy (NSS) untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sepuluh syarikat tempatan dalam bidang tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN