Azmi baru sahaja bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di pinggir kota. Walaupun usianya baru mencecah awal 30-an namun dia berasa seronok kerana tugas tersebut tidak membosankan. Setiap hari ada sahaja penghuni baharu yang dikenalinya, sehinggakan rakan-rakan sekerjanya pelik dengan sikap ramah tamahnya.
“Fuh, kau ini ramah lain macam! Habis semua orang di kondo ini kau tegur, sampaikan auntie-auntie yang sudah pencen ini pun tanya, cari kau tadi,” kata Jasmi rakan sekerjanya sambil tertawa kecil.
Azmi hanya tersengih. Dia tahu ramai penghuni di situ yang seronok dan selesa berbual dengannya kerana dia bukanlah seorang yang terlalu tegas dan cerewet. Jika ada mana-mana penghuni yang melakukan kesalahan kecil seperti tidak membawa pas masuk atau meletakkan kenderaan di tempat salah, dia tutup mata sahaja, sebab itulah ramai yang cukup suka kalau berurusan dengannya.
Dia pula suka memilih untuk bekerja pada syif malam berbanding siang. Baginya waktu malam lebih tenang dan damai tanpa hiruk pikuk kenderaan lalu lalang, selain itu kebanyakan penghuni juga berada di rumah setelah pulang dari bekerja.
Perkara tersebut merupakan berita gembira buat rakan setugas lain kerana jika Azmi memilih untuk bertugas pada syif malam, makanya mereka boleh bergilir-gilir bertukar syif dengannya, sekali gus memberi kelegaan kepada yang sudah berkeluarga.
Malam itu seperti biasa Azmi akan berjalan meronda di persekitaran kondominium tersebut. Dengan berbekalkan sebuah lampu suluh dia mengatur langkah meninjau blok-blok bangunan yang berada di situ. Sesekali dia menyanyi kecil untuk menghilangkan rasa bosan sambil meninjau keadaan sekeliling.
Memang sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan keadaan sekeliling berada dalam keadaan baik, malah dia juga bernasib baik kerana sejak dia bertugas di situ tidak pernah lagi berlaku sebarang kejadian tidak diingini di kawasan kondominium tersebut.
Suasana malam itu cukup dingin, Bunyi ungas dan salakan anjing di sekitar bukit berdekatan sesekali memecah kesunyian malam.
Azmi suluh jam di tangan, sudah hampir pukul 2pagi. Memang begitulah rutinnya setiap malam kerana setiap dua jam dia dan rakan setugas akan bergilir-gilir meronda untuk meninjau kawasan persekitaran.
Sesekali Azmi menggosok kedua tapak tangannya kerana kesejukan. Kondominium di kawasan tersebut memang terkenal dengan persekitaran yang sejuk dan nyaman kerana dikelilingi bukit dan hutan simpan, kawasannya juga cukup damai dan privasi sekali gus menjadi pilihan untuk warga kota yang inginkan ketenangan.
Sedang matanya liar melihat sekeliling, tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Azmi tahan nafas dan mematikan langkah seketika. Dia cuba amati bunyi itu dengan lebih jelas.
HUUUUUU…. HUUUUUU…. HUUUUU…
HUUUUUU…. HUUUUUU…. HUUUUU…
Jelas kedengaran bunyi tangisan mendayu dari arah blok di hadapannya. Azmi kaget seketika. Siapa pula yang menangis malam-malam ini, bisiknya dalam hati.
Tanpa berfikir panjang dia lantas atur langkah menuju ke arah bunyi tersebut. Semakin dia menghampiri blok berkenaan, semakin jelas kedengaran tangisan tersebut.
Matanya melilau sekeliling sambil tangannya menghalakan lampu suluh yang dipegang serata tempat.
Suara tangisan mendayu masih jelas kedengaran, namun dia masih belum dapat memastikan dari manakah datangnya bunyi tersebut.
Bunyi tangisan yang mendayu itu turut diselangi dengan sendu sendan. Azmi semakin gundah. Dia mula berfikir bukan-bukan. Dalam hatinya berharap agar tangisan itu bukanlah datangnya daripada mangsa kes kecurian, ragut atau sebagainya, nanti tidak pasal-pasal pula dia kena bersoal jawab dengan pihak polis.
Suasana di tingkat bawah blok berkenaan cukup suram dan sunyi. Kelihatan deretan kereta dan motosikal yang tersusun kemas di ruang parkir. Azmi menyuluh ke arah beberapa lampu yang tidak berfungsi. Dia hela nafas perlahan. Dalam hati dia merungut sendirian kerana lampu yang sepatutnya diperbaiki masih belum berfungsi sehingga kini.
Sebelum ini sudah beberapa kali dia mengadu kepada pihak pengurusan berkenaan lampu yang rosak di beberapa blok di situ, tetapi seperti biasa, selagi tiada apa-apa kes serius yang melibatkan penghuni, selagi itulah mereka bertangguh.
Azmi kembali menyuluh di sekeliling. Bunyi esak tangis sudah tidak kedengaran lagi, tetapi digantikan dengan bunyi sendu sendan yang berlarutan. Dia mengintai di tangga berhampiran kolam renang, juga tidak nampak sesiapa di situ.
Namun sebaik sahaja dia menoleh ke arah tangga bersebelahan lif Azmi terlihat satu sosok wanita berselendang hitam sedang duduk di salah satu anak tangga di situ. Wajahnya nampak sugul dan muram seakan ditimpa masalah. Sesekali dia mengangkat lengan menyeka air mata yang meleleh di pipinya.
“Assalamualaikum, kenapa ini puan? Menangis di sini, ada masalah ke? Tanya Azmi inginkan kepastian.
Wanita pertengahan usia itu nampak terkejut dengan kehadiran Azmi. Terus dia membetulkan duduknya sambil merenung ke arah lantai simen di bawah.
Azmi garu kepala yang tidak gatal. Wanita tersebut seakan tidak mengendahkan pertanyaannya, malah langsung tidak memberi sebarang jawapan bila ditanya. Azmi lantas mencari jalan untuk mengetahui apa yang terjadi kepada wanita tersebut.
“Begini puan, kalau puan ada masalah boleh beritahu dengan saya, manalah tahu kalau-kalau saya boleh membantu, lagipun memang tugas saya untuk jaga keselamatan penghuni di sini,” terang Azmi panjang lebar dengan niat untuk mengetahui perkara sebenar.
Wanita tersebut perlahan-lahan mengangkat muka memandang ke arah Azmi. Dan ketika itulah Azmi tergamam apabila nampak beberapa kesan lebam di wajah waita tersebut.
“Tak apa encik, ini masalah rumah tangga, rasanya tidak perlu saya kongsikan dengan tuan, dan rasanya tuan pun tidak dapat membantu,” jawab wanita tersebut perlahan.
Azmi terdiam seketika. Betul juga apa yang diperkatakan wanita tersebut. – UTUSAN
bersambung










