KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendaftarkan semua pelarian di negara ini, termasuk etnik Rohingya, melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selewat-lewatnya Januari depan bagi mendapatkan data sebenar selain mengelak bergantung sepenuhnya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata selama ini negara bergantung kepada UNHCR yang diragui ketepatannya justeru tidak dapat dipastikan sama ada maklumat mereka tepat atau kemungkinan jumlah sebenar lebih tinggi daripada laporan.
Menerusi pendaftaran ini, maklumat lebih realistik mengenai jumlah, perlindungan dan rancangan pengurusan dapat dilakukan dengan lebih baik.
“Mengikut pemerhatian, kemungkinan lebih daripada apa yang dilaporkan oleh UNHCR kepada kita. Jadi kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan pendaftaran semula semua pelarian termasuk Rohingya ini dan kita mempunyai hala tuju seterusnya selepas pendaftaran ini,” katanya ketika selepas Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Imigresen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Zakaria berkata, hanya sebahagian pelarian didapati merupakan memegang kad UNHCR tulen.
“Namun sebahagiannya memang kosong. Ada yang ditahan, kita buat pengesahan sama ada kad itu tulen atau tidak dengan UNHCR.
“Sekiranya didapati kad itu palsu, mereka akan terus ditahan di depot-depot imigresen. Tetapi kalau kad itu adalah kad tulen, kita menghormati UNHCR jadi kita akan bebaskan mereka,” katanya.
Pelaksanaan DPP selewat-lewatnya Januari depan, manakala Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Perdan Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan umumkan apa hala tuju selepas proses pendaftaran.
“Sekarang ini penyediaan di peringkat pusat pengasingan dan sebagainya,” katanya.
Pada 8 Julai lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan inisiatif DPP bagi memperoleh data lebih tepat kerana proses perkongsian maklumat dengan UNHCR mengambil masa panjang.
Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses perolehan dan pelantikan vendor untuk membangunkan sistem berkenaan dengan pejabat Imigresen di seluruh negara dijadikan lokasi pendaftaran.
Laporan itu turut menyebut saringan awal terhadap 37,000 individu sudah dimulakan bagi menentukan kelayakan mereka sebagai pemohon suaka.
Saifuddin turut menjelaskan kerajaan sedang meneliti pengurusan seterusnya termasuk aspek keselamatan serta akses pendidikan dan kesihatan melalui inisiatif pihak swasta dan NGO.
Sementara itu Zakaria berkata, kapasiti depot tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara, mencukupi, memandangkan pengusiran dibuat setiap hari.
Katanya buat masa ini jumlah kapasiti sebenar yang boleh ditempatkan di 21 depot adalah seramai 21,530 tahanan.
“Setiap hari ada yang diusir dan juga ada tangkapan jadi data akan turun naik. Tetapi kita kena pastikan depot sentiasa mempunyai kapasiti supaya tindakan penguatkuasaan tidak perlu berhenti.
“Setakat ini, seramai 21,092 PATI ditahan dalam depot di seluruh negara manakala jumlah pengusiran setakat ini adalah 50,419 orang.
“Justeru, kenyataan depot penuh dan sebagainya itu sebenarnya tidak begitu tepat. Memang di Belantik (depot) itu penuh tetapi kita mempunyai 20 lagi depo lain dan setiap satunya ada kapasiti dan tidak semestinya penguatkuasaan tidak boleh dilakukan.
“Sekiranya tangkapan di Kedah, kita boleh tempatkan di depo-depo di luar Kedah. Tidak ada masalah kerana perkara itu di dalam bidang kuasa kita,” katanya.
Hingga kini PATI paling ramai dalam depot adalah warga Myanmar seramai 8,884 orang termasuk 5,102 etnik Rohingya diikuti dengan Filipina (4,727) dan Indonesia (3,838). – UTUSAN










