KUALA LUMPUR: Sektor komoditi Malaysia khususnya industri sawit sedang beralih ke arah penggunaan teknologi tinggi termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan amalan pertanian tepat (precision farming).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peralihan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
“Perkembangan teknologi tidak boleh dielakkan dan menjadi keperluan penting untuk memodenkan ladang sawit di seluruh negara.
“Teknologi ini memberi manfaat besar kepada industri. Ia bukan sahaja mengurangkan tenaga kerja, malah meningkatkan cara kita menguruskan ladang melalui automasi dan pertanian berketepatan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Minyak Sawit Antarabangsa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata, penggunaan teknologi telah membantu sektor itu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing daripada 500,000 hingga 600,000 sebelum ini kepada sekitar 300,000 pekerja, terutamanya dalam kategori kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D).
“Sebagai contoh, sebuah syarikat seperti Sime Darby sebelum ini memerlukan satu pekerja bagi setiap lapan hektar, namun kini mampu mengurus 13 hektar bagi seorang pekerja setelah mengoptimumkan penggunaan automasi dan sistem berasaskan AI serta IoT.
“Ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan ladang,” katanya, sambil menggesa lebih banyak pemain industri untuk menerapkan teknologi pertanian moden,” katanya.
Mengulas pelantikannya sebagai Menteri penyelaras berkaitan Russia, Johari berkata, Malaysia sedang memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dengan Rusia melalui kerjasama rapat yang diterajui oleh Menteri Penyelarasan untuk Rusia.
“Usaha ini bertujuan membuka lebih banyak peluang pasaran dan memperluas rangkaian perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia komited meningkatkan perdagangan dengan Rusia, namun tetap berhati-hati dalam memastikan setiap urus niaga mematuhi sekatan antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.
“Kami bekerja rapat dengan Rusia untuk melihat bagaimana perdagangan dua hala dapat dipertingkatkan. Yang penting, apa sahaja urus niaga Malaysia dengan Rusia mesti dilakukan dengan syarikat yang tidak berada dalam senarai sekatan,” katanya.
Beliau menambah, selain daripada pematuhan sekatan, aktiviti perdagangan lain diteruskan seperti biasa dengan potensi pengembangan pasaran yang lebih luas.
Mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika, ini dijangka mengukuhkan hubungan perdagangan, khususnya dalam sektor sawit.
“Kenya sahaja mengimport lebih 1.2 juta tan metrik minyak sawit setahun dan menjadi pintu masuk utama untuk pasaran Afrika Timur serta negara yang tidak berpantai.
“Afrika mempunyai 48 negara dan merupakan pasaran yang sedang berkembang. Ia destinasi penting bagi minyak sawit Malaysia,” katanya. – UTUSAN










