Sekolah hanya perlu rekod salah laku jenayah pelajar

Sekolah hanya perlu rekod salah laku jenayah pelajar

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Guru atau pihak sekolah tidak perlu lagi mencatatkan amalan baik yang dilakukan murid dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), sebaliknya hanya perlu merekodkan salah laku jenayah melibatkan pelajar.

Kaedah ini merupakan reformasi yang dilakukan dalam pe­ngurusan sahsiah diri murid di sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, catatan salah laku jenayah ini tidak menyebabkan markah Kemenjadian Murid (Sahsiah) sebanyak 25 peratus bagi sekolah rendah dan 15 peratus bagi sekolah menengah itu terus dipotong secara automatik.

Sebaliknya, kata beliau, ia dinilai berdasarkan tindakan yang diambil sekolah sama ada tindakan yang diambil itu, segera dan betul atau tidak.

“Misalnya, kes salah laku jenayah murid seperti penyalahgunaan dadah. Sekiranya kes itu dimaklumkan kepada ibu bapa sahaja, tentunya tindakan itu tidak betul dan markah akan dipotong.

“Sebaliknya, jika tindakan yang diambil seperti memaklumkan kepada ibu bapa, dilaporkan kepada polis dan murid dikenakan tindakan buang sekolah, keadaan ini tidak mengakibatkan markah dipotong.

“Kaedah ini akan menggalakkan sekolah berani melaporkan salah laku jenayah murid dan segera mengambil tindakan dengan betul. Ini yang sepatutnya berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan SSDM kembali kepada fungsi asal sekali gus memberikan harapan baharu kepada guru dalam mengelakkan beban tugas guru.

SSDM sebelum ini digunakan untuk mencatatkan amalan baik dan salah laku murid dan catatan yang dilakukan akan mempengaruhi markah sekolah berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM Kualiti@S), khususnya markah Kemenjadian Murid (Sahsiah).

Mohd. Azam berkata, KPM menyenaraikan antara salah laku disiplin dan salah laku jenayah adalah dibezakan iaitu salah laku disiplin seperti tidak menyiapkan latihan kerja rumah, lambat masuk kelas, rambut panjang dan seumpamanya.

Katanya, salah laku ini boleh diberikan teguran, nasihat dan sesi kaunseling, tetapi salah laku jenayah seperti hubungan seksual, membuli, mencuri dan seumpamannya mesti dilaporkan kepada polis.

Beliau menjelaskan, dalam situasi salah laku jenayah itu, murid perlu dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, dimaklumkan kepada ibu bapa, diberikan sesi kaunseling dan dibuang sekolah.

Mengulas lanjut, sistem SSDM yang sebelum ini yang menetapkan demerit berkaitan markah tersebut, sekolah lebih memfokuskan catatan amalan baik dan meninggalkan catatan salah laku jenayah murid.

Katanya, lebih ‘tidak sihat’ apabila adanya pertandingan, anugerah catatan tertinggi dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI), khususnya untuk memastikan catatan amalan baik murid itu sentiasa tinggi catatannya.

“Amalan baik murid memang banyak dari sekecil-kecil amalan baik hinggalah sebesar-besar amalan baik. Kita mesti terima semua murid itu adalah baik. Jadi tidak perlu catat amalan baik murid.

“Tumpukan sahaja catatan salah laku murid dan ambil tindakan segera dan betul. Guru perlu berperanan menasihati, membimbing dan mendidik setiap murid dari semua aspek,” katanya.

Mohd. Azam berkata, pertandingan dan penetapan KPI bagi mencatatkan amalan baik murid yang sememangnya banyak setiap hari, guru tentunya terbeban dan fokus bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) terganggu.

“Dengan mengubah pendekatan SSDM ini, diharapkan tiada lagi pertandingan, anugerah catatan tertinggi dan KPI yang membebankan guru dan mengganggu fokus guru pada PdP,” katanya.

Mohd. Azam turut mahu catatan salah laku jenayah dicatatkan oleh Pengetua dan Guru Besar atau guru penolong kanan hal ehwal murid (GPKHEM) dalam SSDM kerana mereka terlibat secara langsung dengan hal ehwal murid.

“Lagi pun salah laku jenayah oleh murid adalah perkara serius dan tentulah akauntabiliti pada pegawai tinggi di sekolah.

“Mustahil berlaku banyak salah laku jenayah. Jika banyak kes jenayah di sesebuah sekolah, jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) hendaklah turun membantu pihak sekolah.

“Jika tiada kes salah laku kerana disembunyikan, tindakan tegas akan diambil kepada pentadbir sekolah apabila kes terbongkar dan kes itu dalam makluman sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN