PETALING JAYA: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mahu diberi masa beberapa minggu sebelum beliau bersedia memberikan jawapan mengenai desas-desus mengenai kemungkinan beliau kembali menyertai semula UMNO.
“Ramai yang menghantar mesej bertanya apa yang sedang berlaku. Beri saya beberapa minggu sebelum saya bersedia untuk menjawab.
“Sementara itu, biar saya jelaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa saya tidak pernah meninggalkan UMNO.
“Kamu semua yang memecat saya. Tolong jangan cuba ubah sejarah,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Khairy dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas dikatakan mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu sentiasa terbuka kepada Khairy sekiranya beliau benar-benar berhasrat kembali ke pangkuan parti selepas dipecat pada 2023.
Katanya, UMNO tidak pernah menutup ruang kepada mana-mana bekas pemimpin yang ingin kembali berjuang bersama parti, selagi proses dan syarat parti dipatuhi.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini UMNO masih menunggu permohonan rasmi daripada Khairy.-UTUSAN










