IPOH: Benteng kita belum cukup kental dan mantap.
Itu kebimbangan yang disuarakan oleh Ketua Jurulatih pasukan hoki negara, Sarjit Singh mengenai skuad bimbingannya dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 2025 yang sedang berlangsung di sini.
Sarjit membuat penilaian itu selepas Malaysia mengutip kemenangan 3-2 ke atas Kanada pada perlawanan semalam.
Menurutnya, pertahanan negara belum mantap dan Kanada membuktikan hakikat itu apabila lawan menjaringkan dua gol untuk mendahului 2-1 pada perlawanan semalam.
“Malah mereka mendapat lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kita tetapi nasib kita baik ia gagal disudahkan.
“Jika mereka berjaya menjaringkan dua daripada pukulan itu, sudah tentu kita tewas,” katanya selepas perlawanan semalam.
Sehubungan itu, Sarjit berkata, usaha akan dilakukan bagi meningkat kemampuan benteng bagi menghadapi India esok.
“Kita akan bertemu pasukan ranking ke-7 dunia, oleh yang demikian Malaysia perlu lebih mantap lagi,” katanya .
Mengenai kejayaan ke atas Kanada semalam, jurulatih itu berkata, Malaysia bernasib baik menang walaupun tidak bermain cantik.
” Yang penting kita menang walaupun tidak bermain sebaik yang kita mampu,” katanya. – UTUSAN










