KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, berkata pengalaman dimasukkan ke hospital akibat dehidrasi tidak menghalang beliau untuk menyempurnakan tugasnya sebagai pemain utama filem Banduan.
Malah pelakon berusia 49 tahun itu memaklumkan beliau menolak untuk mengambil cuti sakit bagi memastikan penggambaran filem arahan Kroll Azry itu disempurnakan mengikut jadual ditetapkan.
“Saya alami sakit sendi yang teruk selepas melakukan babak pertarungan dalam filem ini. Saya cuba mengatasi sakit dengan mengambil ubat anti radang namun tak berkesan.
“Saya kemudian merujuk masalah itu kepada doktor pakar. Hasil pemeriksaan mendapati saya mengalami masalah dehidrasi, justeru perlu menjalani proses memasukkan air dalam badan sebagai rawatan.
“Alhamdulillah keadaan saya selepas itu stabil, namun doktor menasihatkan agar saya berehat daripada melakukan penggambaran untuk beberapa hari. Tetapi saya menolak dan meneruskan penggambaran seperti biasa,” kongsinya.
Aaron menceritakan pengalaman itu ketika tayangan dan sidang media filem tersebut, semalam.
Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, beliau enggan mengambil cuti sakit dan terus bekerja selepas keluar hospital supaya produksi tidak terbeban dan mengalami kerugian.
“Saya tak mahu syarikat produksi kerugian ribuan ringgit hanya disebabkan penggambaran perlu ditangguhkan kerana kesihatan saya.
“Sama juga keadaannya ketika jari kaki saya patah akibat tertendang besi ketika menjalani penggambaran filem Sheriff, ketika itu saya teruskan penggambaran.
“Ini adalah komitmen sebagai pelakon. Saya kena berkorban apabila diberi kepercayaan dan peluang menggalas peranan utama dalam filem.
“Selagi boleh bangun dan berdiri, kerja tetap harus disempurnakan. Yang tak boleh, kita bolehkan,” katanya.










