Saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 semakin terasa apabila parti-parti bertanding mula mengumumkan calon mereka semalam, sekali gus membuka gelanggang persaingan yang di jangka paling sengit antara gabungan besar dan parti tempatan dalam sejarah politik negeri di bawah bayu itu.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan kali ini dengan kebanyakan parti sudah mengumumkan jumlah kerusi yang akan ditandingi termasuk calon baharu dan muka lama yang bakal memikat kepercayaan rakyat Sabah.
Antara parti-parti utama yang bakal berentap ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), DAP, Pas dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Warisan terlebih dahulu membuat pengumuman awal di mana partinya akan bertanding di semua 73 kerusi DUN. Manakala BN Sabah sah bertanding di 41 kerusi DUN pada 29 November ini.
Turut menyertai saingan ialah beberapa parti tempatan seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Impian Sabah (PIS).
PRN kali ini turut menyaksikan perubahan dalam landskap politik Sabah apabila STAR dan SAPP secara rasmi keluar daripada GRS serta memutuskan untuk bertanding menggunakan logo masing-masing.
Dalam perkembangan terkini, BN bertanding di sekurang-kurangnya 48 kerusi dengan 80 peratus calon muka baharu, manakala PN pula meletakkan calon di sekitar 40 kerusi termasuk lima kerusi diperuntukkan kepada Pas.
PKR mengumumkan 10 kerusi dalam majlis pengumuman rasmi di Sabah International Convention Centre (SICC) yang bakal dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Parti Amanah Negara (Amanah) pula dijangka bertanding di satu kerusi, namun difahamkan sedang berusaha menambah satu lagi kerusi sebagai usaha memperkukuh kehadiran parti itu di Sabah.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebelum ini mengesahkan penyertaan di lapan kerusi DUN, manakala UPKO dijangka bertanding di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman.
GRS pula akan bertanding di 55 kerusi, namun pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas rundingan akhir bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dimuktamadkan.
Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kekal dengan pendirian bertanding di semua 73 kerusi DUN, malah langkah serupa turut diambil oleh Parti Impian Sabah yang mahu memperkenalkan pengaruh baharu di kesemua 73 kerusi.
STAR Sabah yang kini bergerak secara solo selepas keluar daripada GRS, dijangka bertanding di 15 kerusi, manakala SAPP memperuntukkan enam kerusi. – UTUSAN










