KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah dan Pusat bekerjasama menyelesaikan isu penduduk yang masih belum memiliki dokumen pengenalan sah di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Pusat khususnya melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai keperluan mendesak untuk menangani isu tersebut.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, sekitar 30,000 individu dicatat tanpa kad pengenalan dikenal pasti di Sabah, merangkumi pelarian lama dari selatan Filipina, komuniti laut Pala’u serta warga asing yang memasuki negeri itu secara haram melalui perairan pantai timur.
“Kita telah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan. Ini kerana tugas ini jatuh kepada Kerajaan Persekutuan, pasukan keselamatan dan juga KDN. Jadi, kita berharap ini dapat kita selesaikan atas perikemanusiaan yang tinggal di sini sekian lama yang memenuhi peraturan negara dan juga undang-undang antarabangsa.
“Kita tidak ada pilihan. Daripada mereka bersepah di sini, tiada sekolah, tiada rumah, kita kena bagi perhatian kepada mereka. Ini menjadi tanggungjawab kita, dan ini bukan berlaku di Sabah sahaja, tetapi di seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sulabayan, Datuk Abd. Hajan Gurimbang berkata, masalah dokumentasi yang berlarutan sejak sekian lama itu bukan sahaja menjejaskan hak rakyat, malah boleh menjadi ujian sebenar terhadap kemampuan calon menangani isu akar umbi.
Hajiji berkata, pihaknya komited mempercepat penyelesaian isu berkenaan sekiranya diberi GRS mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
“Kita akan tangani secara lebih serius dan kita mengambil kira semua perkara kerana ini soal kemanusiaan. Kita tidak boleh biarkan begitu. Kalau perlu kita minta kerjasama daripada negara jiran kita, kita akan lakukan.
“Tetapi saya fikir kerajaan kita boleh tangani perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji turut berkata, ini bukan masalah baharu, sebaliknya legasi berpanjangan sejak konflik bersenjata di selatan Filipina beberapa dekad lalu.
Katanya, pergolakan di wilayah itu menyebabkan ribuan melarikan diri ke Sabah mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih stabil.
“Banyak rakyat di sana yang lari ke Sabah yang kita anggap pelarian dan pelarian ini dilindungi undang-undang antarabangsa.” katanya. – UTUSAN











