KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri Persekutuan atas keputusan bersejarah untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas 40 peratus hasil bersih yang dikutip di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu membuktikan bahawa Perdana Menteri memahami harapan serta aspirasi rakyat Sabah, selain mencerminkan komitmen tulen beliau untuk menegakkan apa yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji menambah bahawa keputusan tersebut merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.
Dalam masa yang sama, Hajiji menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai ikhlas dalam mengembalikan hak negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










