Saarani sebak sentuh isu banjir ketika bentang Belanjawan Perak - Utusan Malaysia

Saarani sebak sentuh isu banjir ketika bentang Belanjawan Perak

SAARANI Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2026 negeri Perak pada Persidangan DUN hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kelihatan sebak ketika menyentuh isu banjir semasa membentangkan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Beliau turut dilihat mengesat air mata ketika membacakan teks belanjawan yang menyentuh fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat.

“Banjir masih menjadi igauan yang tidak pernah padam terutamanya bagi rakyat di kawasan berisiko.

“Walaupun peruntukan dinaikkan dari tahun ke tahun dan pelbagai usaha mitigasi digerakkan, tetap ada keluarga yang menanggung bahana bah. Harta benda yang dikumpul sekian lama musnah sekelip mata, harapan yang digenggam akhirnya luruh begitu sahaja.

“Setiap kali air melimpah, air mata juga tumpah, tumpah kerana dihambat rasa kecewa, tumpah kerana letih berulang alik ke pusat pemindahan, tumpah kerana diselubungi rasa bimbang entah bila ujian ini benar-benar akan berakhir,” katanya.

Menurut Saarani, sebagai agensi pertahanan pertama negeri terhadap risiko banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak perlu memperkukuh lagi peranannya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM116.9 juta kepada JPS bagi memperkukuh sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir di seluruh negeri.

“JPS sekali lagi menerima pertambahan peruntukan iaitu sebanyak RM5.4 juta bagi belanja mengurus, menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun 2026 adalah sebanyak RM116.9 juta.

“Tambahan peruntukan sebanyak RM5.4 juta itu merangkumi penyelenggaraan pengurusan rancangan pengairan (RM10.4 juta), pengurusan sungai (RM11.3 juta), skim saliran pertanian (RM9.2 juta), mekanikal dan elektrikal (RM3.6 juta) dan pengurusan kemudahan hidrologi (RM900,000).

“Bagi belanja pembangunan pula, RM14 juta diperuntukkan untuk pelbagai projek termasuk rancangan tebatan banjir (RM7.5 juta), pengurusan sungai dan pantai (RM4 juta), saliran pertanian (RM1.7 juta), bangunan dan infrastruktur (RM200,000) serta Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (RM600,000),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN