PETALING JAYA: Sebarang rombakan Kabinet yang akan dilakukan hanyalah untuk mengisi kekosongan sedia ada.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan secara berseloroh meminta pengamal media mengemukakan senarai nama barisan Kabinet baharu.
“Rombakan itu bagi mengisi kekosongan. Boleh cadangkan beberapa nama? Saya akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Johannesburg, Afrika Selatan.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet mula diperkatakan, susulan beberapa kekosongan portfolio selepas peletakan jawatan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi serta Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).
Turut mengosongkan jawatan baru-baru ini ialah Datuk Ewon Benedick selaku Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Selain itu, beberapa menteri atas kapasiti Ahli Dewan Negara akan menamatkan tempoh perkhidmatan mereka awal bulan depan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Bagaimanapun, Saifuddin, Zambry dan Mohd. Na’im layak dilantik semula sebagai senator untuk satu penggal lagi.
Sementara itu, pada sesi soal jawab, Perdana Menteri memberi maklum balas positif terhadap usul penubuhan Pusat Pengajian Afrika bagi mendalami pemahaman Malaysia mengenai 54 negara di benua itu.
Katanya, komuniti perniagaan ialah pihak terbaik untuk meneroka peluang dan membuat keputusan komersial agar lebih banyak pelaburan Malaysia mampu dibawa ke benua Afrika.
“Saya pasti akan mengangkat usul ini. Ini cadangan yang baik.
“Kita ada Pengajian Eropah, kita faham sejarah Amerika, kita biasa dengan tamadun India tetapi kurang pengetahuan mengenai Afrika secara keseluruhan dan Amerika Latin,” katanya.
Anwar turut menggesa rakyat Malaysia di luar negara untuk memberikan komitmen yang terbaik dan jangan berpuas hati dengan pencapaian sedia ada semata-mata.
“Lakukan yang terbaik. Kita perlu menimba ilmu, tetapi bukan sekadar pemerolehan atau asimilasi ilmu. Kita juga mesti komited untuk menyebarkan apa yang benar, apa yang betul dan apa yang adil,” katanya. – UTUSAN










