Ribut Tropika Senyar: AirAsia jamin semua penerbangan ikut jadual

Ribut Tropika Senyar: AirAsia jamin semua penerbangan ikut jadual

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia memberi jaminan semua penerbangannya beroperasi seperti dijadualkan walaupun negara ketika ini berdepan kesan Ribut Tropika Senyar, selain mengaktifkan pemantauan dan penyelarasan krisis pada tahap tertinggi.

Syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan memaklumkan, langkah pengaktifan tersebut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang serta menjamin keselamatan operasi pada setiap masa.

Katanya, ribut berkenaan seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang bergerak ke arah barat Semenanjung bermula malam 27 November hingga 29 November dan membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta keadaan cuaca tidak stabil.

“Fenomena itu dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua langkah operasi telah dilaksanakan bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.

“Semua penerbangan kini beroperasi mengikut jadual, dan kami sedang memantau rapi keadaan bersama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan penerbangan,” katanya.

Pada masa sama, AirAsia menasihati penumpang supaya berwaspada, memandangkan cuaca buruk berpotensi menyebabkan banjir dan menjejaskan pergerakan penerbangan atau operasi di lapangan terbang.

“Mereka yang melakukan perjalanan ke atau dari kawasan terjejas di Semenanjung Malaysia dalam tempoh ini dinasihatkan tiba lebih awal di lapangan terbang.

“Penumpang juga digalakkan mengikuti perkembangan terkini mengenai status penerbangan menerusi aplikasi AirAsia MOVE, AskBo serta e-mel berdaftar masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN