Rakyat Sabah kecewa tiada undi pos

Rakyat Sabah kecewa tiada undi pos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Sabah di Semenanjung kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini yang menolak pelaksanaan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut mereka, tindakan SPR seolah-olah merampas hak mereka untuk memilih pemim­pin.

Seorang guru, Nur Afizah Sheir, 34 berkata, keputusan itu tidak adil kerana pekerja dan pelajar dari Sabah di Semenanjung juga mempunyai hak untuk memilih.

Katanya, ramai rakyat Sabah di Semenanjung sentiasa bersedia menyumbang kepada negeri dan mereka sepatutnya diberi peluang berbuat demikian me­lalui pemilihan pemimpin yang mereka mahukan.

“Jika diberi peluang, memang saya ingin pulang untuk mengundi, tetapi sebagai pe­ngundi yang berada jauh, kami berhak mendapat inisiatif yang bersifat ke hadapan bagi mengekang kesukaran. Wajar untuk undi pos dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setiap pengundi perlu mengundi di tempat didaftarkan dan suruhanjaya itu masih mengekalkan ketetapan tiada undian pos untuk rakyat Sabah di Semenanjung.

Kira-kira 200,000 rakyat Sabah yang bermastautin di Semenanjung berisiko tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRN Sabah sekiranya undian pos tidak dilaksanakan.

Seorang pekerja swasta, Rafhanah Hazirah Ramlin, 23, berkata, keputusan SPR itu mengecewakan kerana isu tersebut telah lama dibangkitkan namun masih tiada perubahan.

“Secara peribadi, saya rasa sudah sampai masanya sistem pilihan raya kita diperkembangkan bagi memberi ruang kepada pengundi luar negeri, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung.

“Ramai antara kami memang ingin menunaikan tanggungjawab mengundi, tetapi faktor jarak dan kos sangat membataskan.

“Untuk pulang ke Sabah bagi satu hari mengundi agak membebankan kerana saya perlu berkorban wang ringgit dan waktu cuti bekerja, sedangkan masih banyak komitmen lain yang perlu ditanggung.

“Jika undian pos domestik dibenarkan seperti undian pos antarabangsa sewaktu PRU lepas, mengapa tidak untuk PRN kali ini?” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN