PASIR MAS: Rkyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand, meninggal dunia malam tadi.
Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, menghembuskan nafas terakhirnya semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.
Ibu Allahyarham, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, khabar duka itu diketahuinya selepas menerima panggilan daripada menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, pada pukul 9 malam tadi.
“Saya terkejut mengetahui kejadian ini namun reda dengan ketentuan Allah. Jenazah anak saya akan dibawa pulang ke sini tengah hari ini,” katanya.
Zaiton berkata, dia mengetahui anaknya terkena lapan das tembakan itu pada pukul 8 malam dan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, angkara hutang, seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan Mohd. Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi. – UTUSAN










