Putus bekalan elektrik, telefon sukarkan mangsa banjir

Putus bekalan elektrik, telefon sukarkan mangsa banjir

GAMBAR terkini banjir yang dirakam berhampiran simpang empat Pejabat Pos Hat Yai yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan di Hat Yai, Thailand. - IHSAN NBT SONGKHLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Banjir yang melanda Wilayah Songkhla di Thailand khususnya Bandar Hat Yai yang menjadi tum­puan pelancong Malaysia masih belum pulih dan berdepan kesukaran terutama bekalan makanan.

Malah, rakyat Malaysia yang masih terperangkap di sana memberitahu, bekalan elektrik juga diputuskan demi keselamatan orang ramai selain bekalan air juga dicatu.

Pengembara rakyat Malaysia, Dr. Baharin Baharom berkata, situasi banjir dilaporkan makin teruk dengan hujan berterusan sejak pagi semalam.

“Kami berada di kawasan tinggi di Hat Yai. Semalam kereta masih nampak tayar tetapi pada pagi ini hampir tenggelam sehingga paras bumbung.

“Kami tak pasti berapa lama akan terperangkap di sini, malah amaran pihak berkuasa Thailand juga masih diterima di telefon yang memaklumkan air belum surut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Mimi Nadzirah Afiqah Md. Suhaimi, 21, berkata, mereka kini bergantung kepada roti yang amat terhad bagi mengalas perut ekoran tiada makanan berat.

Dia bersama 35 rakan sekelas dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) dan empat pensyarah mereka berada di Hat Yai menyertai Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan sepatutnya pulang semalam selepas dua hari mengikuti program itu.

“Kawasan luar hotel dan sekitar termasuk jalan raya memang air naik. Kenderaan pacuan empat roda pun dah tak boleh lalu di kawasan hotel ini sebab air memang dah tinggi, melebihi kapasiti trak.

“Kami belum dapat apa-apa bantuan makanan dari mana-mana pihak setakat ini, hanya bergantung kepada bekalan makanan sedia ada yang sa­ngat terhad sekarang,” katanya.

Mimi Nadzirah yang menginap di Wangburapa Grand Hotel berkata, talian telefon juga sering terputus dan menyukarkan untuk berhubung de­ngan pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Wan Nur Asyikin Wan Azemim, 34, berkata, bekalan susu dan lampin pakai buang bayinya yang berusia sembilan bulan hanya cukup hingga semalam.

“Saya semakin buntu kerana tiada pihak yang datang ke tempat penginapan kami di The Color Hotel untuk membantu, kami sudah memaklumkan situasi ini kepada Konsulat Malaysia di Songkhla.

“Apa yang diperlukan adalah keperluan bayi dan seorang lagi anak saya berusia lima tahun serta tuala wanita selain bekalan makanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN